Tatarias inspirasi filem Indonesia

Tatarias inspirasi filem Indonesia

Dinding galeri ini mempunyai nilai sentimental kerana setiap karya yang dipamerkan membawa kenangan tersendiri buat seluruh ahli keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sesuatu yang cukup memikat tentang kediaman milik Lailatusyahirah Salleh. Sekali pandang, suasananya seolah-olah membawa kita menyusuri latar sebuah filem Indonesia klasik yang sarat dengan permainan warna, sentuhan retro dan karakter tersendiri.

Daripada siling kuning yang mencuri perhatian, perabot kayu sehinggalah himpunan karya seni yang menghiasi dinding, setiap sudut kediaman ini seakan-akan mempunyai cerita untuk dikongsi.

Bagi Lailatusyahirah, 38, rumah bukan sekadar ruang untuk berteduh, sebaliknya kanvas peribadi untuk menterjemahkan minat, kreativiti dan identiti keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bergelar pereka grafik dan pelukis mural, kecenderungannya terhadap seni jelas terpancar menerusi pilihan dekorasi yang berani, khususnya penggunaan warna-warna terang dan garang.

Menariknya, kediaman itu tidak dibina berlandaskan mana-mana tema khusus. Sebaliknya, setiap ruang dihias mengikut cita rasa sendiri tanpa perlu terikat dengan konsep atau trend dekorasi semasa.

Inspirasi menghias pula banyak diperoleh menerusi laman Pinterest serta filem-filem Indonesia yang sering menampilkan susun atur dan gabungan warna menarik, khususnya karya-karya berlatarkan suasana retro.

Bagi beliau, keindahan sesebuah kediaman tidak semestinya bergantung pada keseragaman konsep, tetapi bagaimana setiap elemen yang dipilih mampu menggambarkan karakter penghuninya.

Dihiasi menjadi galeri seni peribadi yang dipenuhi rona terang dan koleksi klasik.

Permainan warna yang berani, sentuhan alam yang menenangkan

Memilih warna terang sebagai identiti utama kediaman bukan bermakna setiap ruang perlu dipenuhi elemen yang menonjol sehingga kelihatan sarat.

Sebaliknya, Lailatusyahirah bijak mengimbangi penggunaan warna tersebut menerusi penerapan unsur semula jadi yang memberikan suasana lebih harmoni.

Elemen kayu menjadi antara pilihan penting dalam dekorasi kediaman itu kerana tekstur dan tona semula jadinya membantu melembutkan penampilan ruang yang dihiasi warna-warna terang.

Tidak ketinggalan, tanaman hiasan yang ditempatkan di dalam rumah turut memberikan sentuhan kehijauan sekali gus menjadikan suasana lebih segar dan hidup.

Gabungan warna terang, elemen kayu serta tanaman hiasan itu menghasilkan karakter dekorasi yang tersendiri, tanpa menghilangkan suasana selesa sebagai sebuah kediaman keluarga.

Dinding galeri menyimpan seribu cerita

Jika ada satu sudut yang paling dekat dengan jiwa keluarga ini, pastinya dinding galeri yang dihiasi pelbagai hasil seni.

Bukan sekadar lukisan untuk mencantikkan ruang, koleksi yang dipamerkan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana merangkumi hasil karya rakan-rakan penggiat seni, karya Lailatusyahirah sendiri serta lukisan anak-anaknya.

Setiap satunya membawa cerita dan kenangan berbeza, sekali gus menjadikan dinding berkenaan lebih daripada sekadar sudut dekorasi.

Malah, himpunan karya itu turut menggambarkan personaliti setiap anggota keluarga yang mempunyai kecenderungan dan minat tersendiri terhadap dunia seni, muzik serta aktiviti kreatif.

“Dinding ini cerminan identiti kami sekeluarga. Saya sukakan seni, suami pula minat papan luncur dan muzik, manakala anak-anak juga suka mewarna,” katanya kepada Seri.

Keistimewaan dinding galeri itu terletak pada nilai peribadinya. Setiap karya bukan sahaja melengkapkan penampilan ruang, malah menjadi gambaran kehidupan dan minat yang dikongsi bersama sebagai sebuah keluarga.

Lailatusyahirah dan suami lebih gemar berbincang, berkongsi idea serta mencuba pelbagai susunan sebelum membuat keputusan yang dirasakan paling sesuai dengan ruang tersedia.

Kehadiran buaian di ruang tamu turut menjadi antara tarikan yang digemari anak-anak, khususnya untuk bersantai sambil menonton televisyen.

Daripada aspek pencahayaan pula, Lailatusyahirah tidak terlalu menitikberatkan penggunaan lampu hiasan kerana kediaman sudah mempunyai pelbagai elemen dekorasi yang cukup menyerlah.

Sebagai alternatif, lampu dengan tiga pilihan warna digunakan mengikut kesesuaian suasana dan perasaan penghuni rumah.

Berkongsi panduan bagi yang mahu menerapkan gaya dekorasi seumpama itu, Lailatusyahirah menyarankan supaya kerja menghias kediaman dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan.

Katanya, pemilik rumah tidak perlu terburu-buru melengkapkan setiap ruang atau mengeluarkan perbelanjaan besar dalam satu masa.

Sebaliknya, hiasan boleh ditambah sedikit demi sedikit sehingga kediaman benar-benar mencerminkan cita rasa dan keperluan keluarga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini