KUALA LUMPUR: Rakyat Melaka disaran merancang perjalanan lebih awal untuk turun mengundi, esok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting berikutan ramalan cuaca menjangkakan keadaan mendung pada sebelah pagi dan kemungkinan ribut petir pada sebelah petang di beberapa kawasan.
“Berdasarkan ramalan cuaca MET Malaysia, kawasan Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah dijangka mendung pada sebelah pagi, dengan kemungkinan ribut petir pada sebelah petang sebelum cuaca kembali baik pada waktu malam.
“Pesan saya, kalau boleh rancanglah perjalanan lebih awal. Keluar mengundi pada waktu pagi, elakkan perjalanan ketika cuaca buruk dan sentiasa utamakan keselamatan sepanjang berada di jalan raya,” katanya dalm kenyataan, hari ini.
Hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 akan berlangsung esok.
Masing-masing akan menunaikan tanggungjawab selepas 14 hari berkempen.
Seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Insya-Allah, esok rakyat Melaka akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sempena Hari Mengundi Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan rakyat Melaka esok dan semoga proses pengundian berjalan dengan lancar. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN











