CHENNAI: Sebuah mahkamah di India mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung dakwaan sebuah perpustakaan awam di negeri selatan Tamil Nadu yang membeli ratusan buku disyaki dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kontroversi itu tercetus selepas novelis terkenal Tamil, Perumal Murugan menyuarakan kebimbangan mengenai kewujudan buku-buku yang mengandungi fakta palsu serta identiti pengarang meragukan di sebuah perpustakaan yang baru dibuka di bandar Coimbatore.
Susulan pendedahan berkenaan, Mahkamah Tinggi Madras mengarahkan agensi antirasuah negeri menyiasat urusan perolehan tersebut selain membekukan akaun bank yang dikaitkan dengan penerbit yang dituduh membekalkan bahan bacaan terbabit.
Kerajaan negeri dilaporkan menuding jari kepada pentadbiran terdahulu pimpinan parti Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) sebagai pihak yang bertanggungjawab meluluskan pembelian buku-buku berkenaan, namun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh parti terbabit.
Menteri Pendidikan Sekolah Tamil Nadu, A Rajmohan menyifatkan dakwaan tersebut berpotensi menjadi penipuan AI pertama di India dan mengesahkan siasatan turut akan diperluaskan ke perpustakaan awam lain di seluruh negeri.
Kes berkenaan mencetuskan persoalan besar berhubung penyalahgunaan teknologi AI dalam industri penerbitan, yang mana perisian mampu menjana keseluruhan naskhah buku dengan pantas dan murah namun sarat dengan maklumat palsu serta rujukan rekaan.
Isu itu tertumpu di perpustakaan Periyar Arivulagam yang dibina dengan kos sekitar tiga bilion rupee (RM150 juta) dan dirasmikan pada 16 Oktober lalu oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, C Joseph Vijay.
Murugan yang terkenal menerusi novel antarabangsa Pyre dan One Part Woman, mula mengesan kepincangan itu selepas melawat perpustakaan berkenaan bulan lalu sebelum menulis pendedahan mengenainya di sebuah majalah dalam talian.
Beliau mendakwa hampir 1,800 naskhah buku di bahagian bahasa Tamil dibekalkan oleh sebuah syarikat penerbitan kurang dikenali, Agal Vilakku Pathippagam, dengan nama pengarang asing, harga melampau serta Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) yang meragukan.
Antara naskhah yang dipertikaikan ialah buku setebal 300 muka surat berharga 1,445 rupee (RM72) yang menyifatkan Naladiyar sebagai seorang penyair, sedangkan ia sebenarnya merupakan karya sastera klasik Tamil yang menghimpunkan 400 rangkap puisi moral.
Selain itu, sebuah lagi buku didapati menyandarkan puisi purba Tamil, Madurai Kanchi, kepada pengarang yang salah, namun setakat ini pihak berkuasa masih menyiasat sejauh mana pembabitan teknologi AI dalam penghasilan semua naskhah dipertikaikan itu. -AGENSI











