Colom cipta sejarah rampas kerusi Senat Mississippi - Utusan Malaysia

Colom cipta sejarah rampas kerusi Senat Mississippi

SCOTT Colom melambai kepada penyokong pada penghujung perhimpunan meraikan kemenangannya di Kolej Tougaloo di Mississippi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Calon Parti Demokrat, Scott Colom, memenangi persaingan kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) di Mississippi, sekali gus mencatat kemenangan mengejut bagi parti itu di negeri konservatif tegar yang selama beberapa dekad dikuasai Republikan.

Kemenangan Colom menjadikannya individu kulit hitam pertama dari Mississippi dipilih menganggotai Senat AS dalam tempoh lebih 140 tahun.

Perbezaan undi antara Colom dengan pencabarnya daripada Parti Republikan yang juga penyandang kerusi itu, Cindy Hyde-Smith, kurang daripada 5,000 undi daripada hampir sejuta undi yang dikira.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu menjadikan Demokrat menguasai 55 daripada 100 kerusi Senat, manakala persaingan sengit di Alaska masih belum dimuktamadkan.

Keputusan itu menambah tekanan terhadap Presiden, Donald Trump susulan kekalahan besar Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal, termasuk di beberapa negeri yang dikuasai parti itu. 

Kemenangan berkenaan turut mengukuhkan hujah sesetengah pemimpin Demokrat bahawa masa depan parti itu bergantung kepada sokongan di wilayah selatan AS.

Colom, 43, yang merupakan pendakwa raya tempatan, memanfaatkan jumlah penduduk kulit hitam yang besar di negeri itu, ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi serta beberapa kesilapan Hyde-Smith ketika berusaha mendapatkan penggal penuh keduanya.

Sepanjang kempen, Colom berkata, beliau mampu mewakili seluruh penduduk Mississippi, sebuah negeri yang politik dan masyarakatnya sejak sekian lama dibentuk oleh perpecahan kaum.

“Rakyat sebenarnya berhak mendapat seorang senator yang sudi mendengar mereka, mengambil berat tentang pandangan mereka dan memahami kesukaran yang mereka hadapi.

“Parti ini perlu kembali mewakili masyarakat luar bandar, pinggir bandar dan bandar, selain memastikan kita benar-benar menunaikan janji kepada pengundi dengan melakukan perkara yang mampu memperbaiki kehidupan mereka, bukannya mencari alasan mengapa kita tidak dapat melaksanakannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini