KUALA LUMPUR: Seramai 1,523 mangsa banjir daripada 420 keluarga di tiga negeri masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang ini.
Berdasarkan portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga negeri yang terjejas itu adalah Selangor, Perak dan Sarawak.
Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,182 orang daripada 326 keluarga yang berlindung di sembilan PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Gombak dan Shah Alam.
Di Kuala Selangor, tujuh PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 390 mangsa daripada 107 keluarga, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (283 daripada 85 keluarga); SK Parit Mahang (253 daripada 62 keluarga).
Selain itu, KAFA Integrasi Hidayah, Bukit Cherakah (89 daripada 25 keluarga), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (71 daripada 20 keluarga), Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam (50 individu, 15 keluarga) dan SK Jaya Setia (12 daripada 4 keluarga).
Dua lagi PPS di Selangor ialah Balai Raya Kampung Kenanga di daerah Gombak yang menempatkan 20 orang daripada lima keluarga, manakala 14 orang daripada tiga keluarga di Dewan Bunga Matahari, Seksyen U5, Shah Alam.
Sementara itu, di Perak, seramai 306 mangsa daripada 88 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.
Ia membabitkan Dewan Rumah Rehat MPTI Bandar Baru dengan 274 mangsa dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap yang menempatkan 32.
Di Sarawak pula, seramai 35 mangsa daripada enam keluarga masih berlindung di dua PPS membabitkan dua daerah.
Sebanyak 28 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Datuk Dr Haji Hazland Kampung Tabuan Hilir, Kuching, manakala tujuh daripada satu keluarga berada di Kampung Sukan PETRONAS, Miri.
Semua yang berada di kawasan terjejas diminta menjaga diri dan tidak mengambil risiko di musim banjir.








