NEW YORK: Lembaga pengarah Nvidia dilaporkan sedang bersiap sedia untuk menyingkirkan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Jensen Huang selepas beliau didakwa menjalin dua hubungan sulit termasuk bersama seorang wanita yang disyaki perisik China.
Laporan akhbar The Wall Street Journal pada Rabu yang memetik sumber rapat mendedahkan ahli lembaga pengarah syarikat gergasi cip itu dijangka bersidang secepat mungkin bagi menentukan kedudukan serta masa depan Huang.
Penyingkiran Huang berpotensi meninggalkan kekosongan kepimpinan yang besar di syarikat bernilai kira-kira AS$4 trilion (RM17.3 trilion) itu yang diasaskan dan dibinanya selama lebih tiga dekad hingga menjadi pembekal utama cip kecerdasan buatan (AI) global.
Susulan perkembangan mengejutkan itu, saham Nvidia merosot sekitar lapan peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran, sekali gus melenyapkan hampir AS$600 bilion (RM2.4 trilion) nilai pasaran syarikat sejak siasatan dalaman diumumkan minggu ini.
Ketua Penyelidikan Teknologi di D.A. Davidson, Gil Luria berpandangan penyingkiran serta-merta Huang bakal mencetuskan cabaran besar memandangkan syarikat tidak mempunyai pelan peralihan kuasa yang kukuh, namun lembaga pengarah dijangka bertindak tegas sekiranya terbukti berlaku pelanggaran undang-undang.
Terdahulu, akhbar The New York Times mendedahkan Huang turut menjalin hubungan sulit bersama seorang eksekutif kanan syarikat yang melapor terus kepadanya, iaitu Naib Presiden Penjagaan Kesihatan Nvidia, Kimberly Powell.
Kontroversi itu merupakan kemuncak kepada pendedahan awal mengenai hubungan rapat Huang dengan seorang ahli perniagaan wanita, Alice Huang yang didakwa perisikan Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam urusan penghantaran cip Nvidia kepada firma di China.
Menerusi satu memo dalaman kepada kakitangan pada Ahad lalu, Huang mengakui berlaku curang terhadap isterinya dan menyatakan kesediaan memikul tanggungjawab penuh, namun enggan memperincikan butiran hubungan tersebut.
Pada hari yang sama, lembaga pengarah Nvidia melancarkan siasatan bebas dengan bantuan penasihat undang-undang luar bagi menyiasat kemungkinan CEO berkenaan menjadi sasaran operasi risikan asing.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyuarakan sokongan terhadap Huang dengan menyifatkannya sebagai individu yang berintegriti serta telah menjalankan tugas luar biasa untuk negara, meskipun tidak pernah membincangkan dakwaan tersebut secara peribadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Huang kini berdepan risiko dikenakan sepina oleh Kongres AS sekiranya gagal memberi maklum balas terhadap permintaan untuk menghadiri sesi taklimat tertutup berhubung dakwaan penyaluran maklumat kepada Beijing. -AGENSI











