MANILA: Polis Filipina menahan seorang ahli parlimen pada Isnin berhubung skandal rasuah bernilai berbilion dolar, menjadikannya pegawai kerajaan berpangkat tertinggi yang ditahan dalam kes yang telah mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu.
Penahanan Senator Jose Jinggoy Estrada berlaku hampir setahun selepas pendedahan mengenai penyelewengan besar dalam projek kawalan banjir. Ia merupakan isu yang mempunyai kesan serius di negara yang saban tahun dilanda taufan kuat.
Beberapa pemilik syarikat pembinaan, pegawai kerajaan dan ahli politik telah dituduh menyeleweng dana projek tersebut, namun ini adalah kali pertama seorang ahli parlimen yang masih memegang jawatan ditangkap berhubung skandal itu.
Estrada menolak tuduhan terhadapnya sebagai mengarut dan mendakwa ia adalah helah untuk memaksanya menukar pendirian dalam Dewan Senat yang kini berpecah secara mendalam.
Sebuah mahkamah khas antirasuah mengeluarkan perintah penahanannya pada Isnin, beberapa hari selepas beliau didakwa atas kesalahan melakukan penyelewengan besar-besaran iaitu kesalahan rasuah berskala besar di Filipina.
Rasuah telah lama menjadi masalah di Filipina, namun kes projek kawalan banjir ini mendapat perhatian khusus kerana jumlah wang yang terlibat amat besar.
Pendakwa raya kerajaan menuduh beliau memasukkan peruntukan projek kawalan banjir ke dalam Belanjawan Negara 2025 yang membolehkannya menerima komisen haram melebihi 573 juta peso (RM37 juta).
Kesalahan penyelewengan itu boleh dihukum penjara seumur hidup dan tertuduh tidak layak diberikan jaminan. – AFP










