Wanita Mumbai menang RM41,790 cabaran tidur 60 hari

Wanita Mumbai menang RM41,790 cabaran tidur 60 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Seorang wanita dari Mumbai berjaya menjadikan tidur sebagai peluang lumayan apabila memenangi hadiah wang tunai 960,000 rupee (RM41,796) serta percutian tajaan selepas muncul juara dalam pertandingan Program Latihan Tidur.

Jiniya Chatterjee dinobatkan sebagai Juara Tidur India selepas menamatkan pertandingan selama dua bulan yang menarik lebih 200,000 permohonan dari seluruh negara.

Program unik anjuran syarikat kelengkapan rumah dan perabot, Wakefit itu memerlukan peserta mengutamakan tidur, mengekalkan jadual tidur yang konsisten serta menyertai cabaran kreatif setiap minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daripada lebih 200,000 pemohon, hanya 10 calon dipilih selepas melalui beberapa peringkat saringan dan temu duga individu. Mereka bersaing selama kira-kira 60 hari dengan merekodkan prestasi tidur masing-masing, manakala markah harian menentukan kedudukan dalam senarai peserta.

Bagaimanapun, pertandingan itu bukan sekadar menguji kemampuan mendapatkan tidur yang mencukupi. Peserta turut perlu menunjukkan kreativiti menerusi beberapa tugasan luar biasa.

Antara cabaran mingguan yang diberikan ialah Sleep Cinema, iaitu peserta perlu melakonkan semula babak filem terkenal dengan elemen berkaitan tidur. Satu lagi cabaran, Sleep Bingo pula meminta peserta menilai tabiat tidur masing-masing sepanjang seminggu.

Satu tugasan yang agak luar biasa ialah misi rahsia tidur, yang menghendaki peserta menyebut perkataan ‘selimut’ atau ‘bantal’ sebanyak 10 kali dalam perbualan tanpa disedari orang lain.

Peserta yang menunjukkan prestasi terbaik setiap minggu dianugerahkan gelaran peserta tidur terbaik mingguan.

Selepas dua bulan, Chatterjee, Ratnagiri Manikandan dan Mehek Khot muncul sebagai tiga peserta terbaik.

Bagaimanapun, Karim Khan dari Hyderabad, yang memenangi paling banyak cabaran kreatif mingguan, diberikan peluang kembali sebagai peserta wildcard, sekali gus menjadikan saingan akhir melibatkan empat peserta.

Peringkat akhir yang dinamakan Big Bedd menampilkan dua cabaran Utama iaitu cabaran memory foam bagi menguji pemerhatian, daya ingatan dan kerja berpasukan peserta apabila mereka diminta menyusun semula ruang bilik tidur berdasarkan gambar rujukan.

Cabaran kedua, Sleep Auction, pula menghendaki peserta membuat bidaan bagi mendapatkan kelengkapan tidur penting, termasuk bantal, selimut, alat kawalan pendingin hawa serta tetapan pencahayaan dan bunyi.

Peserta akhir kemudian menghabiskan satu malam terakhir dalam ruang tidur yang disesuaikan mengikut pilihan masing-masing.

Markah tidur mereka akhirnya menentukan pemenang, dengan Chatterjee membawa pulang hadiah wang tunai lumayan serta percutian tajaan Wakefit.

Dilancarkan pada 2019, Program Latihan Tidur itu menerima lebih sejuta permohonan sepanjang empat musim pertamanya, dengan 65 peserta menjalani latihan menerima elaun masing-masing sebanyak 100,000 rupee (RM4,353).

Pendaftaran awal untuk peserta yang berminat menyertai musim keenam sudah dibuka menerusi laman web rasmi Wakefit.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini