Kerja mitigasi cerun tanah runtuh Paya Terubong ambil masa lima bulan - Utusan Malaysia

Kerja mitigasi cerun tanah runtuh Paya Terubong ambil masa lima bulan

Kerja-kerja mitigasi dan penstabilan cerun di lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 25 Oktober lalu di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerja-kerja mitigasi kecemasan dan penstabilan cerun di lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong dijangka mengambil masa antara empat hingga lima bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah menerima dokumen lengkap serta permohonan rasmi daripada Aptitude Consulting Engineers Sdn. Bhd. semalam.

Menurutnya, susulan penerimaan dokumen berkenaan, JKKP telah memberikan kebenaran kepada Jurutera Awam pihak pemaju untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi, tertakluk kepada kelulusan dan kebenaran agensi lain yang berkaitan.

Memuatkan artikel berkaitan…

”Kerja-kerja yang dibenarkan termasuk mitigasi kecemasan saliran permukaan (ESCP) dan penstabilan cerun di kawasan runtuhan (zon 1), selain kerja-kerja penstabilan pencegahan terhadap cerun potongan terdedah di tapak pembinaan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi 25 Oktober lalu, seorang doktor, Dr. Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menjejaskan kediamannya. Isterinya, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 86, bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.

Mooi Lye berkata, pihak pemaju dan kontraktor turut diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Selain itu, katanya, mereka perlu mematuhi semua peraturan, kehendak, peruntukan dan arahan yang ditetapkan oleh agensi-agensi lain yang berkaitan.

Dalam perkembangan sama, katanya, empat unit rumah yang dikosongkan susulan kejadian tanah runtuh itu masih belum dibenarkan untuk diduduki semula.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini