Ribuan sekolah di Eropah terima ugutan bom

Ribuan sekolah di Eropah terima ugutan bom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROM: Kira-kira 6,300 sekolah di Itali serta lebih 700 sekolah di Scotland dan Ireland Utara menerima ugutan bom yang dipercayai satu penipuan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Di Itali, beberapa bangunan sekolah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, namun Perdana Menteri, Giorgia Meloni berkata, pemeriksaan setakat ini tidak menemukan sebarang bukti wujudnya ancaman sebenar.

“Laporan ini kelihatan lebih berkaitan dengan strategi yang bertujuan mencetuskan kebimbangan dan keresahan,” katanya menerusi Facebook.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha Pendidikan Scotland, Mairi McAllan berkata, tiada ancaman terhadap keselamatan orang awam, manakala pegawai khusus jenayah siber sedang berusaha mengenal pasti sumber mesej berkenaan.

Di Ireland Utara pula, pegawai pendidikan mengarahkan sekolah supaya terus beroperasi kecuali menerima arahan sebaliknya daripada polis.

Belum dapat dipastikan sama ada kejadian di ketiga-tiga wilayah itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

“Sebagai ibu bapa dan wakil rakyat kawasan, saya memahami betapa membimbangkannya perkara ini kepada ibu bapa, murid, penjaga serta kakitangan sekolah,” kata McAllan.

Polis Scotland sebelum ini memaklumkan semua amaran berkenaan dinilai dengan segera dan dikenal pasti sebagai ugutan palsu. Bagaimanapun, beberapa pihak berkuasa tempatan mengesahkan terdapat sekolah yang dikosongkan.

Pegawai Itali berkata, satu emel dipercayai dihantar pada Rabu ke peti masuk 6,300 daripada keseluruhan 7,476 sekolah kerajaan di negara itu, manakala sekolah swasta tidak terjejas.

Mesej yang didakwa dihantar oleh individu bernama Mikhail Andropov, pemimpin Vilayat di Misoginistan itu mencetuskan kebimbangan di beberapa sekolah.

BBC turut melihat emel yang dihantar kepada sekolah di Scotland dengan kandungan hampir sama, termasuk menyebut nama Mikhail Andropov, tetapi sebagai pemimpin sebuah projek dikenali sebagai Red Owl.

Menteri Pendidikan Itali, Giuseppe Valditara berkata, kejadian membabitkan sekolah di negara itu berkemungkinan merupakan serangan siber, bukannya ancaman sebenar.

Beliau berkata, terdapat strategi jelas di sebalik siri ugutan yang menyasarkan pelbagai lokasi di seluruh Eropah, termasuk penerbangan, pasar raya dan hospital.

Walaupun beberapa ugutan itu didakwa dilakukan oleh sebuah kumpulan ekstremis yang membawa fahaman misoginis iaitu kebencian terhadap wanita, kumpulan berkenaan kemudian menafikan sebarang penglibatan dalam amaran palsu tersebut.

Sebahagian besar sekolah yang dikosongkan pada Rabu dibenarkan beroperasi semula selepas amaran itu ditarik balik dengan segera, sekali gus membolehkan murid kembali mengikuti pembelajaran.

Beberapa ibu bapa bagaimanapun memilih untuk membawa pulang anak masing-masing pada hari itu, namun kebanyakan sekolah di Milan tidak mengarahkan murid pulang.

Menurut laporan media Itali, kira-kira 280 guru besar turut menerima ugutan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Lapangan terbang di Itali serta beberapa syarikat penerbangan lain di Eropah turut berdepan siri ugutan bom palsu minggu lalu sehingga mencetuskan kebimbangan, pemindahan orang ramai dan gangguan operasi secara meluas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini