50 cerun berisiko di Perak dipantau hadapi MTL

50 cerun berisiko di Perak dipantau hadapi MTL

MOHAMMAD Nizar (tengah) bergotong-royong membersihkan longkang pada program CSR bagi kesiapsiagaan MTL di laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti 50 cerun berisiko di Perak yang diberi perhatian khusus bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 42 cerun telah dipulihkan, manakala lapan lagi masih dalam pemantauan.

Katanya, cerun yang telah dipulihkan itu melibatkan 13 di daerah Hulu Perak, 12 di Batang Padang, sembilan di Kinta, lima di Larut Matang dan Selama serta tiga di Muallim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi tahun ini, Perak menerima peruntukan RM38.9 juta untuk kerja-kerja membaiki cerun runtuh di 42 lokasi di seluruh negeri.

“Selain itu, sebanyak RM24.9 juta turut disediakan bagi kerja-kerja penyenggaraan pencegahan cerun khususnya membabitkan lapan cerun berisiko yang masih dalam pemantauan di Hulu Perak (dua) dan Batang Padang (enam),” katanya selepas merasmikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi kesiapsiagaan MTL di laluan Persekutuan FT001, Ipoh-Tanjung Malim, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Nizar berkata, pemantauan keadaan cerun perlu dilakukan secara berkala bagi mengesan tanda-tanda ketidakstabilan seperti rekahan, pergerakan tanah dan hakisan.

Katanya, sebarang petunjuk awal yang dikenal pasti perlu dinilai segera sebelum tindakan sewajarnya diambil bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini khususnya kepada pengguna jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini