ALOR GAJAH: Wakil calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, J. Samivel maut dalam kemalangan jalan raya di hadapan Bilik Gerakan Utama PH DUN Asahan di sini hari ini.
Mendiang yang juga Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Alor Gajah merupakan wakil kepada calon PH bagi kerusi berkenaan, P. Denesh.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH) yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai, anggota parti dan semua yang mengenali beliau.
“Kami juga memohon semua pihak memberi masa secukupnya kepada keluarga untuk menguruskan upacara pengebumian dengan tenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPPH turut merakamkan penghargaan atas khidmat bakti serta sumbangan mendiang sepanjang berkhidmat dengan parti, khususnya komitmen dan kerja kerasnya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
“Kami turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan mendiang sepanjang beliau berkhidmat terutama kerja keras beliau sepanjang kempen,” katanya. – UTUSAN










