Iran edar ubat antiradiasi hadapi ancaman nuklear AS

Iran edar ubat antiradiasi hadapi ancaman nuklear AS

IMEJ satelit menunjukkan keseluruhan kompleks terowong Gunung Pickaxe yang terletak bersebelahan kemudahan nuklear Natanz di wilayah Isfahan, tengah Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Rakyat Iran yang tinggal berhampiran lokasi berpotensi menjadi sasaran serangan nuklear Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menerima ubat untuk melindungi diri daripada kesan radiasi.

Seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Iran mendakwa, tablet iodin itu diedarkan kepada penduduk yang tinggal dalam lingkungan 3.2 kilometer dari kemudahan nuklear negara itu, khususnya di wilayah Isfahan.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump, didakwa mempertimbangkan penggunaan senjata nuklear untuk memusnahkan kompleks pengayaan uranium Natanz dan tapak bawah tanah Gunung Pickaxe yang terletak berhampiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua lokasi itu didakwa mempunyai kaitan dengan program pembangunan senjata nuklear Iran.

Pegawai perubatan itu memberitahu The Times of London, pengedaran tablet iodin dilakukan setiap kali berlaku peperangan, terutama kepada penduduk di kawasan berhampiran.

Pengedaran itu dilaporkan ketika Iran turut menyiarkan amaran kecemasan yang mengandungi panduan kepada orang ramai sekiranya AS melancarkan serangan nuklear terhadap lokasi berkenaan.

Penggunaan senjata nuklear atau kerosakan teruk terhadap kemudahan nuklear Iran akibat serangan AS berisiko membebaskan bahan iodin radioaktif ke udara, yang boleh memasuki tubuh manusia melalui pernafasan atau pengambilan makanan dan minuman tercemar.

Kelenjar tiroid menyerap iodin radioaktif itu sekali gus meningkatkan risiko kanser tiroid, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Tablet iodin pula berfungsi membekalkan iodin bukan radioaktif kepada kelenjar tiroid terlebih dahulu bagi mengurangkan kesan yang diserap organ berkenaan sekiranya berlaku pencemaran radiasi.

Walaupun Iran menafikan pengedaran tablet bagi melindungi penduduk daripada kesan radiasi, media yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negara itu mendakwa ia diedarkan dan disimpan sebagai stok di hospital di bandar selatan Bushehr, lokasi satu-satunya loji tenaga nuklear Iran yang masih beroperasi.

Young Journalists Club melaporkan, sebanyak 180,000 tablet diedarkan sebelum tercetusnya pertempuran antara AS, Israel dan Iran pada Jun 2025.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini