KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mempercepatkan penubuhan Pasukan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan peningkatan ancaman serangan siber ketika ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penubuhan pasukan yang akan menjadi cabang keempat ATM selepas darat, laut dan udara itu pada asalnya dijangka dilancarkan pada 2030, namun kerajaan kini komited memudah cara segala keperluan dari segi anggota dan peralatan untuk disegerakan.
Beliau berkata satu pasukan nukleus telah diwujudkan sebelum ini bagi merancang dan merangka struktur organisasi pasukan tersebut dengan menggabungkan kekuatan sedia ada daripada unit perkhidmatan masing-masing.
“Memandangkan peningkatan ancaman siber yang semakin ganas dan kita tidak mahu dikejutkan dalam keadaan tanpa persediaan. Maka kita maklumkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan pasukan siber ini,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Brigadier Jeneral Kehormat kepada Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang turut bertindak sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malik Razak Sulaiman, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain.
Mengenai persediaan ATM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), Mohamed Khaled berkata 5,234 anggota terdiri daripada 314 pegawai dan 4,920 anggota lain-lain pangkat diletakkan dalam keadaan siap siaga tinggi untuk digerakkan pada bila-bila masa.
Beliau berkata bagi operasi banjir, ATM mengamalkan prinsip sebagai pasukan pertama yang berada di lapangan.
“Bagi menyokong mobiliti, ATM turut menyediakan 589 aset darat dan 344 aset mobiliti air serta mobiliti udara dengan pelbagai aset sekiranya terdapat keperluan mendesak,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled menyeru supaya lebih ramai rakyat menyertai pasukan sukarela bagi mengukuhkan konsep Pertahanan Menyeluruh.
Beliau berkata, Mindef menyasarkan penyertaan 6,000 anggota Askar Wataniah baharu pada setiap tahun untuk melengkapkan kapasiti dan mengimbangi kekuatan anggota tetap, dengan jumlah kekuatan Askar Wataniah sedia ada pada masa ini adalah 35,000 orang. – UTUSAN











