LONDON: Pesawat pertama milik Syrian Airlines dari Berlin selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damascus pada Selasa, sekali gus menandakan penyambungan semula laluan terus yang menghubungkan ibu negara Jerman dan Syria selepas terhenti selama lebih 14 tahun.
Presiden Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Pengangkutan Udara Syria, Omar Hosari menyifatkan penerbangan sulung berkenaan sebagai detik penting dalam pemulihan perkhidmatan penerbangan antara Syria dan destinasi di Eropah.
Menurut laporan agensi berita tempatan Syrian Arab News Agency, langkah terbaharu itu berkeupayaan memperkukuh sambungan udara secara langsung antara Syria dan bandar-bandar utama di bawah Kesatuan Eropah (EU).
Syrian Airlines sebelum ini mengambil keputusan menggantung keseluruhan perkhidmatan penerbangan ke Eropah pada Julai 2012 berikutan pertempuran perang saudara yang tercetus di negara berkenaan sejak tahun 2011.
Konflik berdarah berlarutan selama bertahun-tahun itu akhirnya tamat secara rasmi pada Disember 2024 susulan kejatuhan rejim Presiden Bashar Assad akibat kemajuan serangan pihak penentang.
Sepanjang tempoh pergolakan berkenaan, kira-kira satu juta pelarian Syria dilaporkan telah berhijrah dan menetap di Jerman bagi berlindung daripada ancaman peperangan.
Sebelum penyambungan semula laluan syarikat penerbangan kebangsaan Syria itu, dua syarikat penerbangan Jerman telah pun mula menawarkan penerbangan terus ke Damascus pada musim panas lalu.
Syarikat penerbangan Leav Aviation melancarkan laluan terus antara Dusseldorf dan Damascus pada Julai, manakala Sundair mula mengendalikan perkhidmatan penerbangan terus menghubungkan Berlin dan Damascus pada bulan berikutnya.
Mengimbas kembali detik awal perang saudara, sebahagian besar syarikat penerbangan antarabangsa bertindak membatalkan semua laluan ke Syria, sekali gus menjejaskan akses pengangkutan udara negara itu dengan dunia luar.
Situasi berkenaan memaksa warga Syria yang mahu menyambung perjalanan ke luar negara sepanjang tempoh konflik untuk menggunakan laluan darat menuju ke lapangan terbang di negara jiran seperti Lubnan atau Jordan.- AGENSI











