Ledakan eksport China buat rakan dagang ‘putih mata’

Ledakan eksport China buat rakan dagang ‘putih mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Lebihan dagangan China melonjak melepasi AS$1 trillion (RM4.05 trilion) dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, didorong persaingan global membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang meningkatkan jualan produk berteknologi tinggi serta membantu mengimbangi permintaan domestik yang lemah.

Lonjakan eksport itu dikhuatiri mencetuskan ketegangan dengan beberapa rakan dagang utama yang bimbang lambakan barangan China pada harga lebih rendah akan menjejaskan daya saing pengeluar tempatan.

Lapor Reuters, lebihan dagangan yang semakin besar itu juga berpotensi meningkatkan lagi ketegangan dengan Kesatuan Eropah (EU), yang pemimpinnya menggesa sekatan perdagangan lebih ketat terhadap China selepas mencapai persetujuan dengan Beijing untuk mengehadkan eksport kenderaan hibrid China ke blok berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memandangkan langkah itu masih belum berkuat kuasa, kilang-kilang dijangka mempercepat penghantaran produk ke EU, sekali gus meningkatkan eksport dalam tempoh terdekat.

Data perdagangan itu dikeluarkan menjelang sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) minggu depan di Shenzhen yang dijangka menyaksikan pertemuan kali ketiga tahun ini antara Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Menurut Pentadbiran Am Kastam China, eksport meningkat 35.2 peratus tahun ke tahun kepada AS$412.3 billion (RM1.6 trilion) bulan lalu, manakala import berkembang 41.6 peratus kepada AS$307.1 bilion (RM1.24 bilion).

Angka berkenaan turut menunjukkan Beijing semakin bergantung kepada permintaan luar negara untuk menyokong ekonominya yang dibelenggu penggunaan domestik yang lembab serta kemerosotan berpanjangan dalam sektor hartanah.

Penganalisis memberi amaran kebergantungan lebih besar kepada pasaran luar juga boleh menyebabkan negara itu lebih terdedah kepada langkah perlindungan perdagangan negara lain, selain menyembunyikan kelemahan berterusan ekonomi domestiknya.

Data kastam yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan eksport pada Oktober meningkat 35.2 peratus berbanding bulan sama tahun lalu berdasarkan nilai dolar AS, sedikit perlahan berbanding lonjakan 36.3 peratus pada September, namun jauh mengatasi ramalan pakar ekonomi iaitu peningkatan 33.5 peratus.

Lebihan dagangan China dengan AS menyusut sedikit kepada AS$32.71 bilion (RM132.5 bilion) pada Oktober berbanding AS$34.01 bilion (RM137.86 bilion) pada bulan sebelumnya, namun ketidakseimbangan perdagangan lebih luas antara dua ekonomi terbesar dunia itu kekal menjadi punca ketegangan.

Beijing dan Washington pada Isnin secara rasmi melanjutkan gencatan perdagangan selama dua bulan yang sepatutnya tamat pada Selasa.

China minggu lalu berkata, sebarang peningkatan pembelian produk pertanian dari AS bergantung kepada pelaksanaan pengurangan tarif timbal balik yang dipersetujui kedua-dua negara.

Data kastam turut menunjukkan eksport nadir bumi meningkat sedikit berbanding bulan sebelumnya, manakala import minyak mentah melonjak ke paras tertinggi sejak Mac ketika pembeli menyesuaikan diri dengan gangguan bekalan di Asia Barat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini