GEORGE TOWN : Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi rakan dagang terbesar Pulau Pinang dengan jumlah eksport bernilai RM79 bilion ke negara itu bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jumlah eksport yang tinggi itu juga menunjukkan betapa pentingnya hubungan perdagangan dan pelaburan antara Pulau Pinang dengan AS yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Hubungan ini (Pulau Pinang-AS) dibina atas dasar kepercayaan, jangka panjang dan manfaat bersama. Untuk pengetahuan, pada separuh pertama tahun ini sahaja, kita berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan bernilai RM2.6 bilion dari AS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘American Malaysia Chamber of Commerce (AMCHAM) Penang Dialogue 2025: Recalibrating Malaysia’ yang diadakan di Iconic Marjorie Hotel di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, antara pelaburan terbesar yang diterima ialah bernilai RM1 bilion oleh Altera Semiconductor Technology bagi pengeluaran litar bersepadu (IC) dan FPGA yang membuktikan kedudukan Pulau Pinang dalam ekosistem semikonduktor global.
Kon Yeow berkata, setakat ini, terdapat lebih 120 syarikat AS yang beroperasi di Pulau Pinang dan ia bukan sahaja menyumbang modal dan peluang pekerjaan, malah, turut memacu inovasi serta pembangunan komuniti tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pulau Pinang tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan sedia ada, sebaliknya terus melangkah ke hadapan menerusi pelaksanaan inisiatif Penang Silicon Design @5KM+ (PSD@5KM+) yang dilancarkan tahun lalu.
“Melalui inisiatif ini, kita menyatukan kerajaan, industri dan akademia bagi membangunkan ekosistem semikonduktor lengkap yang merangkumi Penang IC Design and Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Penang Silicon Research and Incubation Space,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya turut mengalu-alukan pembentangan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM550 juta melalui Khazanah dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) bagi memperkukuh ekosistem industri serta RM500 juta pinjaman Bank Pembangunan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta reka bentuk bernilai tinggi.
Beliau berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keupayaan teknologi negara dan Pulau Pinang bersedia memainkan peranan utama ke arah mencapai matlamat tersebut.-UTUSAN










