Malaysia cadang koridor digital bantu bangun semula Palestin

Malaysia cadang koridor digital bantu bangun semula Palestin

Fahmi Fadzil beramah mesra dengan para pemain industri telekomunikasi dalam sesi Meja Bulat Pengasas Digital sempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Malaysia mencadangkan penubuhan koridor digital rentas sempadan bagi membantu usaha pembangunan semula Palestin, termasuk Gaza, Ramallah dan Tebing Barat pascakonflik.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu bertujuan membuka ruang kepada negara-negara peserta untuk menyumbang kepakaran dan memperkukuh kerjasama dalam bidang kesalinghubungan serta ekonomi digital bagi membantu Palestin.

Beliau berkata, cadangan itu tercetus susulan perbincangan dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Pa­lestin, Huda Al-Wahidi me­ngenai cabaran yang dihadapi negara berkenaan, khususnya dalam membangunkan semula kawasan terjejas akibat konflik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berbincang mengenai cabaran yang dihadapi di Palestin, khususnya selepas konflik, antaranya pembangunan semula bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Ramallah dan Tebing Barat.

“Bagaimanakah kita boleh turut serta mewujudkan satu koridor yang dapat membantu secara positif usaha pembangunan semula negara seperti Palestin?” katanya dalam sesi Majlis Meja Bulat Pengasas Digital sempena Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Doha 2026 di sini, semalam.

Fahmi berada di Doha bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) dari 6 hingga 11 November ini.

Sesi anjuran Global System for Mobile Communications Association (GSMA) itu menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggubal dasar dan wakil industri telekomunikasi bagi meneroka peluang memperkukuh kerjasama digital rentas sempadan.

Menurut Fahmi, inisiatif digital Malaysia boleh menjadi platform kepada negara-negara peserta untuk meneroka kerjasama rentas sempadan secara praktikal de­ngan mengambil kira perbezaan keadaan ekonomi, kawal selia dan teknologi setiap negara.

Katanya, usaha itu memerlukan penelitian terhadap beberapa cabaran utama termasuk kos kesalinghubungan, tahap literasi digital, keselamatan serta kepercayaan sebelum bidang kerjasama bersesuaian dikenal pasti.

“Turut dicadangkan supaya Digital Majlis menubuhkan sekretariat kerja dalam tempoh 90 hari bagi menyelaras maklumat dan data daripada negara peserta.

“Sekretariat berkenaan dapat mengenal pasti peluang mewujudkan koridor digital antara pasaran, bermula dengan inisiatif berskala kecil sebelum diperluas ke negara lain.

“Tempoh 90 hari pertama bukanlah penentu segala-galanya, sebaliknya lebih kepada satu pembuktian konsep.

“Sekiranya kita dapat melaksanakannya antara dua pasaran, maka kita boleh mempertimbangkan untuk meluaskannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini