KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menyerahkan laporan serta bukti berkaitan insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC serta Selangor FC kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penelitian dan tindakan lanjut.
Penyerahan itu dibuat selepas MFL selesai mengumpulkan maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berhubung insiden yang berlaku ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, Ahad lalu.
“Sehubungan itu, MFL telah menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penelitian serta tindakan selanjutnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM,” menurut kenyataan MFL hari ini.
Penyerahan berkenaan dibuat selaras dengan bidang kuasa FAM sebagai badan induk yang bertanggungjawab meneliti dan mengambil tindakan tatatertib terhadap insiden terbabit, menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, MFL turut meneliti serta mengkaji sebarang tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada badan pengelola Liga Malaysia itu.
“MFL memandang serius insiden yang berlaku ini dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat mencetuskan kekecohan dan berkelakuan tidak wajar,” kata kenyataan itu.
MFL menegaskan sebarang tindakan yang mengetepikan prinsip semangat kesukanan tidak akan dipandang ringan, sekali gus memberi isyarat bahawa pihaknya serius menangani insiden berkenaan.
Insiden itu sebelum ini mencetuskan kemarahan ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon yang menggesa MFL menjalankan siasatan selepas mendakwa pemain Kuching City, Nazmi Faiz menghampiri kawasan bangku simpanan pasukannya ketika meraikan jaringan sehingga mencetuskan ketegangan.
Kekalahan 0-2 kepada Kuching City menyaksikan Selangor tersingkir daripada saingan Piala FA musim 2026/2027 selepas tewas dengan agregat 2-3. – UTUSAN











