PETALING JAYA: Isu kecederaan yang membelenggu Aaron Chia-Soh Wooi Yik nampaknya masih belum selesai, apabila beregu lelaki No. 1 Malaysia itu terpaksa menarik diri sewaktu beraksi pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu hanya bertahan di dalam gelanggang selama enam minit dan mengambil keputusan tidak meneruskan permainan ketika ketinggalan 6-11 sewaktu berdepan Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun dari India.
Utusan Malaysia difahamkan, kali ini masalah kecederaan yang dialami Aaron pula pada tangannya mendorong keputusan penarikan diri beregu tersebut.
Sebelum ini, gara-gara kecederaan tumit kanan yang menimpa Wooi Yik, telah memaksa pasangan itu menarik diri sewaktu beraksi pada suku akhir Terbuka Perancis, bulan lalu.
Bagaimanapun, pada Jumaat lepas, ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi mengesahkan, pemain itu sudahpun menerima rawatan sewajarnya daripada pakar dan telah mula turun ke gelanggang menyertai sesi latihan.
“Saya akui kaki Wooi Yik ada sedikit bengkak, cuma sehingga hari ini, saya melihat keadaannya sudah membaik. Dia sudah turun berlatih, cuma belum 100 peratus sembuh,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Justeru, perkembangan terbaru mengenai Aaron-Wooi Yik sedikit sebanyak menggugat peluang mereka untuk beraksi pada Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember ini dengan Terbuka Hong Kong, minggu depan menjadi satu-satunya peluang mereka menokok mata.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terkandas pada pusingan kelayakan selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Minoru Koga 15-21, 10-21 dalam masa 32 minit. – UTUSAN










