PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menyemak semula perintah pelepasan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu bertujuan mendapatkan suatu perintah pelepasan baharu supaya ia selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan oleh di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.
“AGC hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk mengkaji semula dan meneliti kembali perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
“Permohonan tersebut untuk suatu perintah pelepasan yang baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 September 2026,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, UMNO mengesahkan denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Najib sudah dibayar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah mengikut syarat pengampunan bersyarat yang diterima bekas Presiden UMNO itu.
Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah itu ditangguhkan selepas AGC mengumumkan mahu membuat penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan.
Susulan itu, Peguam Negara memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan pendiriannya berhubung pematuhan terhadap titah diraja berkaitan Perintah Pengampunan Bersyarat Najib.
Istana Negara pula, menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat yang diperintahkan ke atas Najib disifatkan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sabtu lalu, AGC menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepi atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
AGC dalam satu kenyataan dilaporkan, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan yang dibangkitkan oleh AGC bukanlah mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut.
“Sebaliknya, persoalan yang memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November 2026 terhadap baki hukuman penjara dalam kes SRC International, serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB,” katanya.
AGC menjelaskan, persoalan timbul susulan pembayaran denda sebanyak RM50 juta pada 6 November 2026 dan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tarikh sama.
Menurutnya, perintah tersebut turut menyatakan bahawa Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai skop dan kesan arahan pelepasan tersebut, khususnya sama ada pelepasan yang diperintahkan hanya berkaitan dengan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah, atau sama ada perintah tersebut membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai.
“Persoalan ini mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman Mahkamah Tinggi dalam kes 1MDB, yang menetapkan bahawa hukuman penjara dalam kes tersebut hendaklah bermula selepas hukuman dalam kes SRC International selesai dijalani.- UTUSAN











