Cercaan rupa paras cerminan diri

Cercaan rupa paras cerminan diri

INDIVIDU yang paling lantang mencemuh kekurangan fizikal orang lain sebenarnya sedang bergelut dengan konflik kendiri yang parah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGHINAAN rupa paras bukanlah isu lapuk, sebaliknya penyakit media sosial yang kian sukar dibendung. Bukti terbaharu tercetus menerusi insiden kecaman fizikal  terhadap penyanyi seorang penyanyi terkenal sewaktu membuat persembahan di acara Keretapi Sarong baru-baru ini.


Penyanyi itu menjadi sasaran tohmahan segelintir pengguna media sosial yang memperlekehkan perubahan fizikalnya. Sekiranya figura awam yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya seperti beliau pun tidak kebal daripada cercaan netizen, bayangkan penderitaan mental yang terpaksa ditanggung oleh individu biasa tanpa sokongan emosi yang kukuh.

Konflik jiwa si pembuli terserlah apabila mereka tergamak melontarkan cercaan jijik berbaur penghinaan melampau. Kata-kata nista sebegini kerap berselindung di sebalik topeng ‘gurauan’. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, dari sudut psikologi klinikal, tindakan ini mendedahkan kecelaruan emosi dan kepincangan karakter si pelaku. Lazimnya, individu yang paling lantang mencemuh kekurangan fizikal orang lain sebenarnya sedang bergelut dengan konflik kendiri yang parah.

Rasa rendah diri serta ketidakpuasan terhadap kehidupan peribadi mendorong minda bawah sedar mengalihkan kekecewaan itu kepada kelemahan orang lain. Tindakan menghina ini menjadi mekanisme pertahanan diri demi meraih ilusi bahawa diri mereka lebih sempurna.

Hakikatnya, pembuli siber ialah golongan yang tewas dari segi kematangan emosi. Ketiadaan interaksi bersemuka di alam maya memadamkan sempadan adab serta menyerlahkan defisit empati yang kritikal..

Keruntuhan empati ini menjadi lebih parah apabila mula menular dalam kalangan generasi muda seawal usia persekolahan. Realiti membimbangkan ini memperkukuhkan rasional cadangan sekatan penggunaan media sosial dan aplikasi perbualan bagi kanak-kanak di bawah usia 16 tahun wajar diberi pertimbangan. 

Golongan bawah umur belum cukup matang untuk mengendalikan interaksi digital secara sihat, lantas  menyebabkan kumpulan sembang sekolah mudah bertukar menjadi sarang usikan toksik dan medan penormalan ejekan fizikal.

Pada masa sama, masyarakat perlu sedar perbuatan ini bukan sekadar isu kelunturan adab, malah merupakan kesalahan jenayah siber yang serius. Tindakan menghamburkan kata-kata jelik dan mengancam boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Penghinaan fizikal pada dasarnya ialah taktik pembunuhan karakter yang berniat jahat. Kepada mangsa di luar sana, ketahuilah kata-kata kotor pemangsa sedikit pun tidak mengurangkan maruah atau nilai kewujudan anda.

Kepada si pelaku, sedarlah bahawa perbuatan menghina rupa paras orang lain sebenarnya sedang mencerminkan rupa jiwa anda sendiri yang sakit, kosong, dan amat menyedihkan. -UTUSAN

 

IZA FARADIBA MOHAMMAD PATEL

Akademi Pengajian Bahasa,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini