WASHINGTON: Seorang ahli Kongres daripada Parti Republikan memulakan usaha memecat Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth berhubung perang di Iran.
Ia sekali gus membuka ruang kepada undian yang berpotensi mencetuskan ketegangan di Kongres beberapa hari selepas parti Presiden, Donald Trump mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Ahli Kongres dari Kentucky, Thomas Massie mengemukakan lapan pertuduhan pemecatan terhadap Hegseth, mendakwa beliau melancarkan perang secara tidak sah tanpa kelulusan Kongres serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Pentagon.
Massie, pengkritik Trump yang tewas dalam pemilihan awal parti kepada calon yang disokong Presiden itu, menggunakan prosedur khas yang mewajibkan Dewan Perwakilan membahaskan usul berkenaan dalam tempoh dua hari persidangan.
Beliau berkata, Hegseth secara sedar melaksanakan arahan yang menyalahi undang-undang dengan melancarkan perang tanpa kelulusan Kongres.
Lapan pertuduhan itu turut mendakwa Hegseth melanggar Resolusi Kuasa Perang 1973, selain salah laku berkaitan kematian orang awam serta operasi ketenteraan di Yemen dan Venezuela.
Bagaimanapun, Pentagon menolak semua dakwaan berkenaan.
Dewan Perwakilan yang dikuasai Republikan boleh mengadakan undian seawal Rabu, dengan beberapa anggota parti Trump memberi isyarat kemungkinan menyertai Demokrat menyokong pertuduhan berkenaan.
Trump pada Isnin menyatakan sokongan kepada Hegseth dengan berkata, beliau sudah menjalankan tugas dengan baik dan memenangi perang di Venezuela serta Iran, merujuk kepada operasi pantas yang membawa kepada penangkapan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro pada Januari lalu, serta konflik dengan Teheran yang masih belum berakhir selepas lapan bulan.
Ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya Hegseth dikenakan pemecatan, Trump memberitahu pemberita beliau akan tetap menyokongnya.
Usaha pemecatan itu akan menjadi tamparan memalukan kepada pentadbiran Trump, namun tidak bermakna Hegseth akan disingkirkan secara automatik daripada jawatannya.
Ini kerana sabitan memerlukan sokongan dua pertiga anggota Senat, satu halangan lebih besar walaupun Demokrat akan mengambil alih kawalan dewan itu pada Januari depan.
Usaha berkenaan semakin mendapat perhatian sejak pilihan raya pertengahan penggal Selasa lalu, apabila Demokrat menguasai kedua-dua dewan Kongres susulan kemarahan pengundi terhadap perang di Iran dan kenaikan harga bahan api.
Republikan masih menguasai Kongres sehingga Kongres baharu memulakan persidangan pada 3 Januari, namun kekalahan itu menyebabkan anggota saling tuduh-menuduh dalam parti berkenaan.
Ketiadaan beberapa ahli Republikan yang tewas dalam pilihan raya juga boleh memudahkan usul pemecatan itu diluluskan.
Ketua Demokrat di Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries yang dijangka menjadi Speaker pada Januari depan berkata, beliau pasti menyokong usaha pemecatan itu.
“Individu yang kononnya Setiausaha Pertahanan itu telah menyalahgunakan kuasanya, menjejaskan keselamatan negara dan merancang perang pilihan di Iran yang melulu serta menelan belanja besar. Pete Hegseth mesti disingkirkan,” katanya kepada ABC News.
Beberapa anggota Republikan masih belum membuat keputusan. Ahli Kongres dari Arkansas, French Hill berkata, beliau mahu mendengar perbahasan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada dakwaan itu wajar membawa kepada pemecatan.
Mengikut Perlembagaan AS, Dewan Perwakilan boleh mengemukakan pertuduhan pemecatan dengan sokongan majoriti mudah. Senat kemudian akan mengadakan perbicaraan, dengan sabitan dan penyingkiran pegawai memerlukan sokongan dua pertiga senator yang hadir.
Demokrat masih memerlukan sokongan besar daripada Republikan walaupun selepas mengambil alih majoriti Senat.
Hanya dua Setiausaha Kabinet pernah dikenakan pemecatan dalam sejarah AS dan kedua-duanya tidak disingkirkan oleh Senat.
Hegseth menyifatkan usaha Massie sebagai palsu dan menggelarnya ahli Kongres yang tidak berpuas hati.
Pentagon pula menjadualkan sidang media yang jarang diadakan oleh Hegseth, manakala Trump pada Isnin menyifatkan Massie sebagai individu yang gagal sama sekali.
Ahli Kongres Republikan, Don Bacon mempersoalkan alasan Massie, namun berpendapat Hegseth wajar dikenakan pemecatan kerana menahan bantuan kepada Ukraine serta memaksa kira-kira 80 pegawai kanan tentera meninggalkan jawatan atau menghalang kenaikan pangkat mereka.
“Ramai antara kami sudah membincangkan perkara ini,” katanya kepada CNN sambil menggesa Hegseth meletakkan jawatan.-AFP











