AS anggap ujian nuklear langkah berhemah

AS anggap ujian nuklear langkah berhemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan ujian keupayaan nuklear sebagai langkah berhemah dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanannya.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth berkata demikian ketika ditemui media sebelum menghadiri High-Tea Menteri Pertahanan ASEAN-AS hari ini.

Hegseth berkata, ujian berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menilai tahap keupayaan sistem nuklear AS yang disifatkannya sebagai sangat canggih.

“Melakukan ujian terhadap keupayaan ini dianggap sebagai langkah yang wajar dan berhemah,” katanya ringkas kepada pemberita.

Presiden AS, Donald Trump yang mengarahkan ujian senjata nuklear secara mengejut menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan global antara kuasa besar.

Arahan itu dibuat menerusi akaun Truth Social miliknya semalam, sebelum menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin China, Xi Jinping di Korea Selatan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jenis ujian yang akan dilaksanakan, Hegseth bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun menegaskan AS memiliki kemampuan nuklear yang kukuh serta berkesan.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa Washington kehilangan kepercayaan rakan-rakan strategik di rantau Indo-Pasifik.

“Saya tidak fikir kami pernah kehilangan kepercayaan tersebut. Kami terus memberi tumpuan kukuh dan berterusan terhadap rantau Indo-Pasifik, mengekalkan kehadiran kami yang sudah lama terjalin. Kami tidak pernah pergi dan tidak akan ke mana-mana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hegseth turut memuji kerjasama erat dalam kerangka Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Plus (ADMM+) serta hubungan baik dengan negara-negara ASEAN, sambil menyifatkan Malaysia sebagai ‘negara yang indah dan penting dalam rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN