Setiausaha Pertahanan AS antara yang hadir ADMM+

Setiausaha Pertahanan AS antara yang hadir ADMM+

MOHAMED Khaled Nordin dan Judith Collins menghadiri ADMM+ Ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth merupakan antara pemimpin pertahanan yang menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM+) Ke-12, menjadikan penyertaan pertama dalam mesyuarat keselamatan serantau itu.

Hegseth menyertai rakan sejawatnya dari negara-negara ASEAN dan rakan kongsi dalam mesyuarat yang dianjurkan oleh Malaysia dengan tema ‘Kesepaduan ASEAN untuk Keselamatan dan Kemakmuran’.

Sesi tersebut menghimpunkan menteri pertahanan dari seluruh rantau Asia-Pasifik dan luar rantau bagi membincangkan keamanan, kestabilan serta cabaran keselamatan baharu yang sedang muncul.

Turut menghadiri ADMM+ buat kali pertama ialah Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral Sjafrie Sjamsoeddin; Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi; Menteri Pertahanan Nasional Laos, Leftenan Jeneral Khamlieng Outhakaisone; Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back; Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan Singapura, Chan Chun Sing dan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles; Menteri Pertahanan China, Laksamana Dong Jun; Menteri Pertahanan New Zealand, Judith Collins; Timbalan Menteri Pertahanan Rusia, Oleg Saveliev dan Menteri Pertahanan India, Shri Raj Nath Singh turut hadir dalam mesyuarat berkenaan

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mempengerusikan sesi tersebut turut mengalu-alukan kehadiran khas Menteri Pertahanan Timor-Leste, Donaciano do Rosario da Costa Gomes buat kali pertama sebagai anggota baharu blok.

Menerusi ucapan pembukaannya, Khaled berkata, Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah kepada perhimpunan bersejarah yang menonjolkan kepentingan dialog, kepercayaan dan kerjasama dalam mengekalkan keselamatan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN