Tunai janji 15 bulan di Machap Jaya
NGWE Hee Sem bertemu orang ramai di Kampung Baru Menggong, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN berdepan saingan sengit tiga penjuru, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem yakin rekod perkhid­matannya sentiasa diingati masyarakat. Namun, beliau enggan mendabik dada sepanjang tempoh berkempen tambahan pula ditentang bekas penyandang kerusi, Datuk Ginie Lim Siew Lin daripada Pakatan Harapan (PH). Ikuti perkongsian ‘Ah Sem’ bersama wartawan Utusan Malaysia, Amran Mulup.

NGWE HEE SEM

UTUSAN: Peluang BN di DUN Machap Jaya kali ini?
HEE SEM: Bagi saya, keyakinan itu datang daripada rekod perkhidmatan yang telah saya berikan kepada rakyat sejak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021 sehingga pembubaran DUN Melaka. Dalam tempoh itu, saya sentiasa memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, sepanjang tempoh kempen ini, saya ha­nya melakukan sedikit touch-up dengan memperhebatkan lagi sentuhan mesra bersama pe­ngundi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setakat ini, tidak ada masalah besar yang timbul tetapi tidak dapat diselesaikan. Dalam tempoh kira-kira 15 bulan berkhidmat, kebanyakan perkara yang dijanjikan telah berjaya dilaksanakan dan ditunaikan. Kalau kita melihat kepada sejarah pertandingan, lawan saya iaitu Ginie pernah bertanding tiga kali, dua kali kalah dan sekali menang ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Bagaimana pula sambutan masyarakat sepanjang tempoh kempen?
Saya pergi ke banyak tempat dan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat. Apa yang menggembirakan, ramai rakyat menyatakan hasrat untuk terus memberikan sokongan kepada saya kerana mereka melihat kemampuan dan kesungguhan saya menjalankan tugas.

Saya sentiasa turun ke kawasan dan berjumpa sendiri dengan rakyat. Ada yang memberitahu bahawa mereka sentiasa nampak wakil rakyat di kawasan, mudah ditemui dan apabila mereka mempunyai masalah, kita akan cuba memberikan jawapan serta mencari jalan penyelesaian. Pada saya, itu adalah antara kelebihan yang paling penting bagi seseorang wakil rakyat.

Kekuatan Datuk yang menjadi sandaran untuk mendapatkan mandat sekali lagi?
Saya rasa kekuatan utama saya ialah rekod perkhidmatan. Sejak diberi amanah, saya sentiasa turun padang dan mendekati rakyat. Dalam tempoh saya berkhidmat, banyak masalah telah berjaya diselesaikan. Apabila kita selalu berada di bawah bersama rakyat, kita akan mengetahui sendiri apa yang mereka perlukan.
Kadangkala masalah yang kecil bagi sesetengah pihak adalah perkara yang sangat besar kepada penduduk setempat. Sebab itu saya sentiasa mengambil pendekatan untuk turun sendiri dan mendengar.

Perancangan sekiranya diberikan mandat sekali lagi?
Sepanjang lima tahun ini, saya memang sudah biasa turun ke kawasan dan banyak perkara telah berjaya dilaksanakan. Namun, apabila sesuatu pembangunan berjaya dilaksanakan, akan timbul pula keperluan baharu seiring dengan perkembangan kawasan.

Sebagai contoh, sebelum ini terdapat manifesto untuk membina sebuah masjid di kawasan Lesung Batu. Apabila masjid itu telah dibina dan melihat kepada keluasan kawasan serta perkembangan pembangunan yang semakin pesat, masyarakat mula menyuarakan keperluan untuk diwujudkan pula sebuah sekolah agama di kawasan tersebut. Perkara itu antara permintaan baharu yang disampaikan kepada saya dan saya telah mengemukakannya sebagai antara perkara yang perlu diberi perhatian kepada pihak berkaitan.

Harapan kepada pengundi menjelang hari pengundian?
Saya hanya berharap pengundi akan melihat kepada rekod perkhidmatan yang telah saya berikan. Saya percaya rakyat sendiri dapat menilai siapa yang sentiasa berada bersama mereka, siapa yang mudah ditemui dan siapa yang bekerja untuk menyelesaikan masalah mereka.

Saya akan terus turun padang dan mendekati rakyat kerana bagi saya, tugas seorang wakil rakyat bukan hanya ketika kempen pilihan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini