Peminat seni tanya mana boleh lihat hasil karya pelukis Terengganu

‘Peminat seni tanya, mana boleh lihat hasil karya pelukis Terengganu’

MOHD. Fauzi Ibrahim bersama karyanya dan sebahagian lukisan ahli Persatuan Pelukis Terengganu (Peter) ketika menyertai pameran jualan di Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/ ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketiadaan galeri seni khusus menyebabkan Persatuan Pelukis Terengganu (Peter) berdepan kesukaran mempamerkan hasil karya kira-kira 80 ahlinya sekali gus mengehadkan peluang orang ramai menghayati keunikan seni lukisan tempatan.

Persatuan itu memerlukan sebuah galeri tetap yang bukan sahaja berfungsi sebagai ruang pameran, malah menjadi pusat penyimpanan koleksi lukisan serta lokasi penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan seni.

Ahli Jawatankuasa Peter, Mohd. Fauzi Ibrahim berkata, persatuan mempunyai banyak perancangan untuk mengembangkan kegiatan seni lukis, namun ketiadaan premis khusus menyebabkan usaha berkenaan terbatas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, peminat seni sering bertanya mengenai lokasi untuk melihat hasil karya pelukis Terengganu, tetapi persatuan tidak mempunyai tempat tetap untuk membawa mereka menghayati koleksi berkenaan.

“Kita ada ramai ahli aktif menghasilkan lukisan pelbagai tema dan pendekatan tersendiri. Sebab itu, kita harap ada galeri khusus supaya hasil karya mereka dapat dipamerkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Fauzi berkata, Peter pernah mempunyai galeri di Telaga Batin sebelum ditutup pada 2018 dan sejak itu, ahli mencari alternatif sendiri untuk menyimpan serta mempamerkan hasil karya masing-masing.

Buat masa ini, ahli berpeluang mengadakan pameran di Muzium Negeri Terengganu setiap Sabtu atau di rumah masing-masing.

Menurutnya, galeri tetap juga boleh menjadi lokasi penganjuran bengkel, demonstrasi melukis, pertemuan penggiat seni serta program pendidikan untuk menarik minat golongan muda.

“Karya ahli Peter mengetengahkan warisan dan budaya tradisional Terengganu seperti suasana Pasar Payang lama, perahu payang serta kehidupan masyarakat dahulu.

“Justeru, usaha mempamerkan karya sedemikian penting bagi memastikan keindahan warisan negeri terus didokumentasikan melalui seni lukis selain diperkenalkan kepada generasi muda dan pengunjung luar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini