Malaysia perlu perluas pengaruh halal global

Malaysia perlu perluas pengaruh halal global

MALAYSIA perlu mengekalkan kepimpinan halal global melalui sistem yang diyakini dan kepercayaan antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA terus mengekalkan reputasinya sebagai antara kuasa utama dalam ekonomi Islam global apabila sekali lagi menduduki tempat teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) menerusi Laporan Ekonomi Islam Global 2024/2025.

Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan semasa tetapi juga kesinambungan prestasi yang konsisten selama 12 tahun berturut-turut.

Kedudukan ini disokong kekuatan Malaysia dalam pelbagai sektor utama seperti makanan halal, kewangan Islam, pelancongan mesra Muslim serta industri farmaseutikal dan kosmetik halal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, dalam landskap global yang semakin dinamik, persoalan yang lebih kritikal mula timbul, adakah kelebihan ini mampu dikekalkan apabila lebih banyak negara membangunkan sistem halal mereka sendiri?

Perkembangan industri halal hari ini jauh berbeza berbanding beberapa dekad lalu. Jika dahulu halal lebih tertumpu kepada persoalan hukum makanan dan kepatuhan individu Muslim, kini berkembang menjadi sektor ekonomi global bernilai trilion dolar.

Ekonomi halal merangkumi rantaian nilai yang luas termasuk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, logistik, pelancongan, kewangan Islam, teknologi digital serta perkhidmatan profesional.

Perubahan ini menjadikan halal bukan sekadar keperluan agama tetapi juga aset strategik dalam perdagangan antarabangsa dan diplomasi ekonomi.

Al-Quran meletakkan asas penting dalam konsep ini melalui firman Allah SWT: “Wahai manusia, makanlah daripada apa yang terdapat di bumi yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, 2:168)

Ayat ini menegaskan halal bukan hanya soal boleh atau tidak mahupun halal atau haram tetapi turut merangkumi dimensi tayyib yang menekankan kualiti, keselamatan, kebersihan dan kemaslahatan.

Oleh itu, apabila halal berkembang sebagai industri global, yang perlu dipelihara bukan sekadar potensi ekonominya tetapi juga nilai yang membentuk asasnya.

Dalam penilaian ekonomi moden, kejayaan industri halal sering diukur melalui angka eksport, jumlah pensijilan, atau bilangan syarikat yang memegang sijil halal.

Walaupun indikator ini masih penting, ia tidak lagi mencukupi untuk menggambarkan realiti persaingan semasa.

Hakikatnya, persaingan halal global kini sedang beralih daripada persaingan produk kepada persaingan sistem.

Ini bermakna, kelebihan bukan lagi hanya terletak pada siapa yang menghasilkan lebih banyak produk halal tetapi pada siapa yang membina sistem halal yang paling diyakini, telus dan diiktiraf merentas sempadan negara.

Sistem halal hari ini merangkumi pelbagai komponen seperti standardisasi, pensijilan, pengiktirafan badan pensijilan luar negara, kompetensi auditor, sistem jaminan halal, makmal analisis, latihan profesional serta teknologi kebolehkesanan rantaian bekalan.

Dalam masa sama, semakin banyak negara sama ada negara Islam mahupun bukan Islam turut membangunkan sistem halal mereka sendiri. Perkembangan ini memperluaskan pasaran tetapi juga menimbulkan cabaran baharu seperti ketidaksejajaran standard, isu saling pengiktirafan dan persoalan autoriti pensijilan.

Akhirnya, persaingan ini semakin jelas berpusat kepada satu perkara utama iaitu kepercayaan.

ASET KEPERCAYAAN

Kekuatan Malaysia dalam industri halal tidak hanya terletak pada produk atau angka eksport tetapi pada pembangunan ekosistem halal yang menyeluruh dan berstruktur.

Institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Standard Malaysi), Halal Development Corporation (HDC), universiti, makmal penyelidikan serta pemain industri membentuk satu sistem yang saling melengkapi.

Antara kelebihan strategik Malaysia ialah mekanisme pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara, yang membolehkan produk dari pelbagai negara memasuki pasaran dengan keyakinan yang lebih tinggi.

Dalam konteks ini, persoalan utama bukan sekadar “adakah produk ini halal?” tetapi juga “siapakah yang mengesahkannya dan sejauh mana sistem di belakangnya boleh dipercayai?”

Di sinilah terbentuknya apa yang boleh disebut sebagai modal kepercayaan Malaysia dalam ekosistem halal global.

Kepercayaan ini tidak dibina dalam masa singkat tetapi melalui konsistensi, ketegasan standard, integriti proses audit, serta kredibiliti institusi yang terlibat.

Hal ini selari dengan prinsip amanah yang ditekankan dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah al-Nisa’, 4:58)

Dalam konteks halal, amanah ini bukan hanya bersifat individu tetapi juga institusi dan sistem.

Dalam perkembangan semasa, industri halal tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai sistem pematuhan teknikal. Sebaliknya, semakin berkait rapat dengan persoalan nilai, etika dan kelestarian.

Konsep halalan tayyiban mempunyai keserasian yang jelas dengan agenda global sepert i Alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) . Ini termasuk aspek penjagaan alam sekitar, kebajikan pekerja, keadilan rantaian bekalan, ketelusan kewangan serta tanggungjawab sosial.

Islam sendiri telah lama meletakkan asas kepada nilai ini melalui prinsip iaitu ‘adl (keadilan), amanah dan ihsan.

Sehubungan itu, pembangunan ekosistem halal perlu bergerak daripada sekadar pematuhan halal kepada penciptaan nilai halal.

Ini tidak bermaksud menambah beban baharu kepada pensijilan halal tetapi memperluaskan cara kita memahami impak halal dalam keseluruhan ekosistem perniagaan.

Dengan pendekatan ini, halal bukan sahaja menjawab persoalan “adakah ia dibenarkan?” tetapi turut mengangkat persoalan yang lebih luas, “apakah kebaikan yang dihasilkan oleh sistem yang membentuk produk ini?”

Malaysia membuktikan keupayaannya sebagai peneraju dalam ekosistem halal global. Namun, cabaran masa hadapan adalah lebih kompleks, bagaimana untuk kekal relevan dalam sistem global yang sedang berubah dengan pantas?

Jawapannya tidak terletak pada pengembangan produk semata-mata tetapi pada keupayaan untuk mengeksport sistem, kepakaran dan model tadbir urus halal.

Ini termasuk:
– Standard dan kerangka tadbir urus halal
– Kepakaran latihan auditor dan pegawai profesional halal
– Sistem jaminan halal dan pematuhan industri
– Teknologi kebolehkesanan dan digitalisasi halal
– Penyelidikan dan inovasi dalam ekosistem halal termasuklah sistem sokongan seperti logistik halal.

Universiti dan institusi penyelidikan juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia melalui diplomasi ilmu, kerjasama antarabangsa dan pemindahan kepakaran.

Pada masa sama, Malaysia tidak perlu memaksakan modelnya secara seragam kepada semua negara. Ini kerana setiap negara mempunyai konteks undang-undang, budaya dan institusi yang berbeza.

Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila Malaysia terus menjadi rujukan utama dalam pembentukan ekosistem halal global melalui kepakaran, pengalaman dan kredibiliti sistemnya.

 

KEPERCAYAAN SEBAGAI MATA WANG BAHARU HALAL

Dalam dunia halal yang semakin kompetitif, kelebihan tidak lagi hanya ditentukan oleh skala pengeluaran atau jumlah pensijilan.

Sebaliknya, ia ditentukan oleh tiga perkara utama:

– Kekuatan sistem
– Kualiti nilai
– Tahap kepercayaan global

Malaysia telah membina asas yang kukuh dalam ketiga-tiga aspek ini.

Namun, cabaran sebenar bukan sekadar untuk mengekalkan kedudukan tetapi untuk memastikan apabila dunia membincangkan masa depan halal, Malaysia kekal sebagai antara negara yang membentuk arah perbincangan tersebut. -UTUSAN

PROFESOR Dr. Mohd. Afandi Salleh ialah Pengerusi, Halal Development Corporation (HDC).

PROFESOR Dr. Mohd. Fauzi Abu-Hussin ialah Pensyarah, Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini