PERBINCANGAN tentang ekonomi negara sering menggunakan angka purata seperti Pendapatan Negara Kasar (KNK) per kapita dan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Angka-angka ini berguna untuk membandingkan prestasi ekonomi antara negara dan merancang dasar. Namun, angka purata tidak semestinya menggambarkan pengalaman ekonomi setiap individu.
Huraian ini meneliti jurang antara gaji penengah dengan KNK per kapita di Malaysia serta bagaimana jurang tersebut membantu menjelaskan mengapa rakyat bimbang tentang hutang negara walaupun penunjuk ekonomi makro kelihatan positif.
Pada Mac tahun ini, gaji penengah bulanan di Malaysia ialah RM3,027, iaitu kira-kira 36.5 peratus lebih rendah daripada KNK per kapita. Bagi 2025, KNK per kapita dianggarkan sekitar RM57,200 setahun atau kira-kira RM4,767 sebulan. Untuk memahami jurang ini, perbezaan konsep antara kedua-dua ukuran perlu dijelaskan terlebih dahulu.
KNK per kapita ialah jumlah pendapatan seluruh negara dibahagikan dengan jumlah penduduk. Pendapatan ini bukan sahaja terdiri daripada gaji pekerja tetapi juga keuntungan syarikat, pendapatan sewa dan faedah, pendapatan kerajaan serta nilai susut nilai aset modal.
Pembahagiannya pula melibatkan semua penduduk, termasuk kanak-kanak, pelajar dan warga emas yang tidak bekerja. Oleh itu, KNK per kapita tidak menunjukkan berapa banyak wang yang benar-benar diterima oleh setiap orang. Ia lebih tepat difahami sebagai ukuran saiz ekonomi berbanding bilangan penduduk.
Gaji penengah pula merujuk kepada gaji pekerja yang berada betul-betul di tengah taburan gaji. Separuh daripada pekerja memperoleh gaji yang lebih rendah daripada angka ini, manakala separuh lagi memperoleh gaji yang lebih tinggi. Kelebihan ukuran penengah tidak dipengaruhi segelintir individu berpendapatan sangat tinggi.
Sebaliknya, nilai purata boleh meningkat dengan ketara apabila pendapatan golongan teratas meningkat, walaupun pendapatan majoriti rakyat tidak berubah. Jurang yang besar antara kedua-duanya tetap memberi isyarat penting iaitu sebahagian besar pendapatan negara tidak sampai kepada pekerja dalam bentuk gaji.
Terdapat beberapa faktor struktur yang menjelaskan kewujudan jurang ini. Faktor pertama ialah bahagian pekerja dalam ekonomi yang masih rendah. Ucapan Belanjawan 2027 menyatakan pampasan pekerja hanya merangkumi 33.9 peratus daripada KDNK. Selebihnya diterima dalam bentuk keuntungan syarikat, pendapatan modal dan cukai.
Sebagai perbandingan, bahagian pekerja di kebanyakan negara maju lazimnya melebihi separuh daripada pendapatan negara.
Faktor kedua ialah pemilikan asing. Syarikat multinasional asing yang beroperasi di Malaysia menghantar pulang keuntungan yang besar ke negara asal mereka. Akibatnya, sebahagian nilai yang dihasilkan oleh tenaga kerja tempatan tidak kekal dalam ekonomi domestik.
Faktor ketiga ialah taburan pendapatan yang tidak sekata. Pendapatan daripada pemilikan saham, hartanah dan perniagaan cenderung tertumpu kepada golongan yang sudah memiliki aset. Golongan ini menikmati hasil pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat berbanding pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada gaji.
Gabungan ketiga-tiga faktor ini menjelaskan mengapa pertumbuhan KDNK yang kukuh tidak semestinya dirasai secara langsung oleh pekerja biasa.
Kerajaan lazimnya mengukur hutang berbanding KDNK, iaitu keupayaan seluruh ekonomi untuk menanggung hutang tersebut. Pada akhir Jun pula, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.379 trilion, bersamaan 63.1 peratus KDNK. Dari sudut makroekonomi, nisbah ini dianggap terkawal dan sedang menurun.
Rakyat pula cenderung menilai hutang berdasarkan pendapatan mereka sendiri. Jika hutang tersebut dibahagikan dengan kira-kira 34.2 juta penduduk, setiap orang secara purata ‘menanggung’ sekitar RM40,000.
Jumlah ini melebihi gaji penengah setahun, iaitu kira-kira RM36,300. Bayaran khidmat hutang sebanyak RM61 bilion pada 2027 pula bersamaan kira-kira RM1,780 bagi setiap penduduk setahun. Apabila angka sebesar ini dibandingkan dengan gaji sebenar dan bukan dengan KNK per kapita, wajarlah menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan rakyat.
RAKYAT GUSAR HUTANG NEGARA
Selain itu, persoalan tentang siapa yang menanggung beban hutang turut menjadi punca kegusaran. Hutang kerajaan akhirnya dibayar melalui hasil negara, termasuk cukai.
Jika pertumbuhan ekonomi lebih banyak dinikmati dalam bentuk keuntungan syarikat dan pendapatan modal, maka rakyat bergaji mungkin merasakan beban yang tidak seimbang dengan manfaat yang mereka terima.
Cukai tidak langsung seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pula dibayar semua pengguna, termasuk golongan berpendapatan rendah. Di samping itu, terdapat kos peluang yang perlu diambil kira.
Wang yang digunakan untuk membayar faedah hutang tidak dapat disalurkan kepada perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan. Isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah, yang lebih bergantung kepada perkhidmatan awam, akan merasai kesan ini dengan lebih ketara.
Walau bagaimanapun, analisis yang adil perlu mengiktiraf sebahagian kebimbangan rakyat adalah berasas, manakala sebahagian lagi timbul daripada salah faham.
Kebimbangan tentang kos khidmat hutang yang terus meningkat, ruang fiskal yang semakin terhad untuk menghadapi krisis dan pertumbuhan ekonomi yang tidak diterjemahkan kepada kenaikan gaji yang setara merupakan isu yang sah dan wajar diberi perhatian.
Sebaliknya, terdapat beberapa perkara yang sering disalah faham. Hutang negara tidak sama dengan hutang isi rumah. Hutang negara tidak perlu dilunaskan sepenuhnya tetapi perlu dikekalkan pada paras yang mampu ditanggung berbanding saiz ekonomi.
Hampir semua hutang kerajaan Malaysia juga merupakan hutang domestik, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja memegang kira-kira 30.5 peratus daripadanya.
Ini bermakna sebahagian faedah yang dibayar kerajaan kembali kepada rakyat dalam bentuk dividen simpanan persaraan. Oleh itu, angka ‘hutang per kapita’ tidak menggambarkan beban sebenar setiap individu sebaliknya lebih tepat difahami sebagai pemindahan wang antara pembayar cukai dengan pemegang simpanan dalam negara.
Namun, hujah ini juga mempunyai hadnya. Pekerja sektor tidak formal dan golongan berpendapatan rendah mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kecil hanya menerima manfaat dividen terhad, sedangkan mereka tetap menanggung cukai tidak langsung. Dengan kata lain, manfaat daripada hutang domestik tidak diagihkan secara sama rata kepada semua rakyat.
Dalam kata lain, jurang antara gaji penengah RM3,027 dengan KNK per kapita menunjukkan angka purata tidak mencerminkan pengalaman ekonomi kebanyakan rakyat. Jurang ini turut menjelaskan mengapa penunjuk makro yang positif, seperti nisbah hutang yang semakin menurun, tidak semestinya dapat meredakan kebimbangan rakyat.
Kegusaran rakyat terhadap hutang negara pada asasnya mencerminkan persoalan yang lebih luas, iaitu sama ada hasil pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil. Kepercayaan rakyat terhadap pengurusan hutang negara akan lebih mudah dibina sekiranya kenaikan gaji, peningkatan bahagian pekerja dalam ekonomi dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan awam berlaku seiring dengan pertumbuhan ekonomi.
Langkah-langkah dalam Belanjawan 2027, seperti kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dan penetapan gaji minimum graduan sebanyak RM2,500, boleh dinilai berdasarkan sejauh mana ia berjaya merapatkan jurang antara purata dan realiti ini. -UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Timbalan Pengerusi, Forum Ekonomi Manusiawi.











