Pusingan U dasar tanda kelemahan institusi

Pusingan U dasar tanda kelemahan institusi

PEMBATALAN dasar pengurangan waktu pengajaran bahasa melemahkan kewibawaan pihak berkuasa dan membantutkan usaha pembaharuan pendidikan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KURIKULUM Persekolahan 2027 (KP 2027) merupakan kerangka mata pelajaran yang dikendalikan secara progresif bermula di tadika pada 2026 yang akan dilalui murid tahun satu pada tahun hadapan, antaranya bermatlamat melahirkan anak bangsa seimbang dari segi kemahiran, ilmu, pengalaman dan ciri yang pelbagai sifatnya.

Untuk ini, sistem pendidikan negara yang lebih seimbang akan diperkenal agar anak bangsa kita betul-betul setara dari segi emosi, sosial dan intelek.

Dalam pada ini, pendidikan sekolah rendah akan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu Tahun 1 dan 2, Tahun 3 dan 4, serta Tahun 5 dan 6 untuk mencapai kesimbangan ini dengan jayanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendidikan seimbang ini penting supaya anak bangsa bukan sahaja boleh mempunyai hubungan mesra lagi harmoni sesama bahkan bersatu padu selain selalu sejahtera. Ini termasuk pendidikan sepanjang hayat dan upaya bersaing secara global.

Dalam usaha mencapai matlamat ini, beberapa langkah diambil agar tuntutan mencabar untuk pendidikan abad ini berjaya dicapai.

Antaranya termasuklah pengurangan masa pada pendidikan bahasa, dari 12 ke 10 waktu seminggu untuk ketiga-tiga aliran persekolahan. Ini dilakukan agar masa yang diambil daripada pendidikan bahasa itu dapat dimanfaatkan untuk betul-betul menjayakan KP 2027.

Antaranya termasuklah untuk aneka pendidikan bersepadu baharu bagi membentuk perwatakan, mengadakan eksplorasi teknologi dan kelas digital sebagai keupayaan bersaing di peringkat global.

Walaupun untuk tujuan murni yang begitu jelas bagi kebaikan anak bangsa, namun pengurangan hanya dua waktu itu, bukan sahaja disensasikan, bahkan turut dipolitikkan.

Ini kerana etnik Cina mendakwa hal tersebut sebagai isu perkauman untuk melemahkan pendidikan vernakular di negara ini. Dakwaan begini bersifat sangat cauvinis, selain langsung tidak masuk akal dalam mempertahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, sedangkan langsung tidak berniat sebegitu.

Dalam hal pengurangan waktu ini, ia melibatkan semua bahasa. Oleh itu, langsung tidak bersifat perkauman, iaitu hanya melibatkan pendidikan aliran Cina.

Melalui dasar ini pada KP 2027, semua jenis persekolahan terlibat dan kadarnya sama di kesemuanya. Namun terdapat pihak yang sengaja mahu melihat dasar ini dari kanta perkauman semata-mata.

Apabila begini, tindakan susulannya bukan sahaja bersifat perkauman, juga sangat berbahaya. Ini kerana ia berpotensi mencetuskan rasa tidak senang dan marah daripada etnik lain, khususnya Melayu atas dasar mencabar mereka sebagai etnik teras yang menerajui kepimpinan di negara ini.

Sedangkan tiada sekelumit pun niat begitu oleh etnik Melayu sebagai pihak berkuasa untuk melemahkan pendidikan aliran Cina.

Sebetulnya kebimbangan sebegini adalah manifestasi defisit kepercayaan yang terus-terusan wujud di negara, walaupun setelah sekian lama tertubuhnya negara. Sehingga hari ini masih wujud sikap saling curiga antara satu sama lain.

Sehubungan ini, kemajuannya, sama ada dalam atau luar negara, akan selalu terbantut. Ini kerana terdapat keengganan yang bukan Melayu untuk mempercayai institusi, pemimpin dan seumpamanya yang rata-ratanya diterajui etnik Melayu.

Melalui dasar ini, strategi mengajar dan mempelajari bahasa Mandarin sebagai contoh, boleh sahaja secara tidak langsung diterapkan sewaktu mata pelajaran lain disampaikan seperti dalah matematik, sains, sejarah dan lain-lain.

Dalam hal ini, konsepnya adalah pengetahuan bahasa Mandarin dan kemahiran komunikasi, yakni membaca, menulis, mendengar dan menutur, boleh ikut ditekankan dalam semua mata pelajaran. Begitu juga halnya dengan bahasa Melayu dan Tamil.

Laporan untuk mata pelajaran sains boleh ikut dinilai dari segi penggunaan bahasa yang baik dan betul. Melalui cara penulisan laporan sains ini, bahasa Mandarin sebenarnya boleh digunakan pada tahap mendalam lagi rinci.

Namun dasar pengurangan ini tetap dibantah bukan sahaja dengan keras, juga agresif sehingga ada keperluan untuk ditarik balik oleh pihak berkuasa.

Sebenarnya, pembalikan dasar atau penarikan semula keputusan, lebih-lebih lagi selepas menerima bantahan awam, menunjukkan kelemahan pihak berkuasa dalam berhadapan dengan sentimen permusuhan pihak tertentu terhadap dasar, tindakan dan kenyataan yang telah dibuat.

Sehubungan dasar pengurangan ini, ia bukan sahaja pusingan U, yakni putaran 180 darjah untuk kembali semula kepada arah sebelumnya, malah peralihan politik untuk tujuan pengimbangan kuasa, di samping adaptasi hala tuju pemerintah.

Sehubungan dengan pengimbangan kuasa, keadaan ini tidak lain merupakan kebalikan institusi apabila dasar yang telah digubal pihak berkuasa boleh diubah oleh pihak lain. Hala tuju pemerintah pula memperlihatkan peralihan ideologi daripada pendekatan progresif, iaitu pengurangan waktu kepada 10 jam, kepada pendekatan konservatif dengan mengekalkan tempoh lama selama 12 jam.

Sepatutnya, pengurangan waktu ini diteruskan tanpa perlu membalikkan keputusan yang telah dibuat atau mengubah haluan dasar. Dasar tersebut dirangka dengan penuh kecaknaan demi membentuk sahsiah anak bangsa yang lebih terarah serta selari dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Dalam hal ini, peralihan kuasa akan dilakukan oleh mana-mana pemerintah untuk kebaikan politik semasa atau waktu terdekat bagi semua pihak.

Namun perkara ini tidak baik untuk negara dalam jangka waktu panjang. Antaranya pada proses pembentukan negara bangsa, yakni rakyat yang sama-sama mendukung setiap aspirasi negara dan bukan membantah setiap satu daripadanya.

Bantahan terhadap dasar ini juga merupakan manifestasi permainan sifar kosong, iaitu keadaan apabila keuntungan yang diperoleh satu pihak dianggap sebagai kerugian kepada pihak yang lain. Dalam konteks ini, kemenangan satu pihak dilihat sebagai kekalahan pihak yang berlawanan, seolah-olah keuntungan hanya boleh dicapai dengan mengorbankan kepentingan pihak lain.

Walaupun dasar ini melibatkan pengurangan dua waktu bagi semua pihak, masih timbul dakwaan bahawa pendidikan aliran Cina menerima kesan yang tidak adil sehingga boleh melemahkan aliran tersebut. Tindakan ini dilihat sebagai usaha memainkan sentimen mangsa untuk meraih simpati dan empati masyarakat dengan menggambarkan etnik Cina sebagai pihak yang teraniaya.

JEJAS KEWIBAWAAN INSTITUSI

Berbalik kepada pembatalan dasar ini, ia juga kelemahan institusi, yakni peraturan, perundangan dan struktur organisasinya didapati tidak berdaya untuk mempengaruhi, memacu dan mengekang tingkah laku pihak lain bagi mengakurinya.

Dengan ini, institusi berkenaan hilang peranan penguatkuasaan, kredibiliti dan keberkesanannya.

Sehubungan kelemahan ini, pihak berkuasa didapati tidak berjaya memperoleh kerjasama yang diperlukan daripada pihak terbabit. Oleh itu, dasar yang telah digubal terpaksa diatur lagi untuk kembali semula kepada kepada keadaan asal.

Dalam pada ini, dasar ini bukan sahaja dipinda agar tidak pun ada sebarang perubahan pada masa sekarang ini. Juga menghalang berlakunya perubahan yang sangat baik untuk negara dalam jangka masa panjang. -UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini