TANAH MERAH: Empat lelaki dipercayai tekong ditahan bersama 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam operasi di Pangkalan Haram Yuti, Nibong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata operasi inter-agensi Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA) itu dijalankan jam 9.45 pagi hasil maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, polis menahan 34 individu merangkumi 30 warga Myanmar membabitkan 18 lelaki dan 12 perempuan.
“Turut ditahan empat warga tempatan yang disyaki terbabit membawa masuk warga asing melalui laluan tidak sah dengan tiga daripada mereka didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Haki berkata, polis turut menemui sebotol cecair disyaki air ketum dengan anggaran 450 mililiter dalam Perodua Myvi.
Katanya, Perodua Myvi dan Honda City turut dirampas untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.











