PUKUL 11 malam, seorang pensyarah di sebuah universiti awam masih menatap skrin komputer riba di ruang tamu rumahnya. Anak-anak sudah lama tidur. Di hadapannya bukan bahan kuliah untuk esok, tetapi manuskrip jurnal yang perlu disiapkan sebelum tarikh akhir.
Esok pagi, sebelum kelas jam 8.30, dia mungkin sempat menyemak beberapa lagi tugasan pelajar yang masih berbaki. Dengan jumlah pelajar yang ramai, kerja menyemak selalunya dibuat sedikit demi sedikit, termasuk pada awal pagi atau selepas waktu pejabat.
Keadaan seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam rutin seorang pensyarah. Bagi sebahagian masyarakat, gambaran tentang tugas pensyarah masih banyak berkisar pada waktu kuliah.
Jika seseorang pensyarah hanya mempunyai dua atau tiga kelas pada sesuatu hari, jadualnya mungkin kelihatan lapang. Apabila semester berakhir pula, ada yang membayangkan bermulalah “cuti panjang” seorang pensyarah.
Tanggapan sebegini mudah berlaku kerana kuliah ialah bahagian pekerjaan pensyarah yang paling mudah dilihat. Pensyarah masuk ke kelas, mengajar dua atau tiga jam kemudian keluar. Yang tidak kelihatan ialah kerja sebelum dan selepas pintu bilik kuliah itu ditutup.
Satu kuliah selama dua jam, misalnya, tidak bermula tepat pada jam pensyarah melangkah masuk ke kelas. Bahan pengajaran perlu disediakan, bacaan perlu dikemas kini, contoh perlu dicari dan tugasan atau aktiviti pelajar perlu dirancang.
Selepas kelas, ada pula tugasan untuk diperiksa, pelajar yang memerlukan bimbingan, e-mel yang perlu dijawab dan penilaian yang perlu disediakan. Apabila tiba musim peperiksaan, datang pula penyediaan soalan, proses moderasi, pemeriksaan skrip dan semakan markah. Sebab itu, satu jam mengajar tidak semestinya bersamaan satu jam bekerja.
Skala tugas ini perlu dilihat dalam konteks sistem pendidikan tinggi negara. Statistik Pendidikan Tinggi 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merekodkan 634,706 pelajar di universiti awam.
Pada tahun yang sama, terdapat 32,042 staf akademik di universiti awam. Secara pengiraan kasar, jumlah itu memberikan nisbah hampir 20 pelajar bagi setiap staf akademik. Namun, nisbah ini bukan bermaksud setiap pensyarah hanya berhadapan dengan 20 orang pelajar.
Sebuah kursus boleh mempunyai puluhan malah ratusan pelajar, manakala pensyarah yang sama boleh mengendalikan beberapa kursus serta menyelia pelajar pada peringkat lain.
Realitinya, tugas seorang pensyarah jauh lebih luas daripada menyampaikan kuliah. Seorang ahli akademik perlu bergerak dalam beberapa dunia secara serentak iaitu sebagai pengajar, penyelidik, penulis, penyelia, pentadbir dan dalam banyak keadaan, penghubung universiti dengan masyarakat serta industri.
Penyeliaan pelajar sahaja boleh menjadi satu tanggungjawab besar. Pensyarah membimbing projek tahun akhir, disertasi sarjana dan tesis kedoktoran. Penyeliaan bukan sekadar menandatangani borang atau membaca tesis yang sudah siap.
Persoalan kajian perlu diperhalusi, metodologi perlu dibincangkan, analisis perlu diperiksa dan bab demi bab perlu dibaca, dikomen dan dibaca semula selepas pembetulan. Bagi pelajar pascasiswazah, proses ini boleh berlangsung bertahun-tahun.
Kemudian datang pula penyelidikan. Di universiti, pensyarah bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga diharapkan menghasilkan pengetahuan baharu. Sebab itulah penerbitan, geran penyelidikan, latihan pascasiswazah, inovasi dan jaringan profesional menjadi sebahagian daripada ekosistem prestasi universiti.
Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia atau MyRA, misalnya, digunakan untuk menilai aktiviti serta pencapaian penyelidikan institusi pengajian tinggi melalui pelbagai dimensi penyelidikan.
Namun, ungkapan “buat penyelidikan” kedengaran jauh lebih mudah daripada proses sebenarnya. Ia bermula dengan membaca, mengenal pasti persoalan kajian, menyediakan proposal dan dalam banyak keadaan memohon geran.
Selepas itu datang kerja mengumpul data, menjalankan kerja lapangan, menganalisis dapatan, menyediakan laporan dan menulis manuskrip. Artikel yang dihantar kepada jurnal pula tidak semestinya terus diterima. Ada yang memerlukan pembetulan beberapa kali dan ada juga yang ditolak lalu perlu diperbaiki dan dihantar ke jurnal lain.
Dalam masa yang sama, pensyarah turut menjadi penilai kepada kerja akademik orang lain. Mereka memeriksa tesis, menilai artikel jurnal, proposal penyelidikan, kertas persidangan dan dalam sesetengah keadaan memberi khidmat kepakaran kepada agensi kerajaan, industri serta komuniti. Semua ini berlaku tanpa tercatat pada jadual kuliah.
Kemudian ada pula tugas pentadbiran. Pensyarah boleh menjadi penyelaras kursus, ketua program, penyelaras latihan industri, penasihat persatuan pelajar, ketua kumpulan penyelidikan atau ahli pelbagai jawatankuasa universiti. Kurikulum perlu disemak, program perlu melalui proses jaminan kualiti dan akreditasi, mesyuarat perlu dihadiri, program perlu dilaksanakan dan pelbagai dokumentasi perlu disediakan.
Kerangka Kualiti Audit Institusi atau Institutional Quality Audit Framework (IQAF) oleh Agensi Kelayakan Malaysia sendiri mengiktiraf bahawa tanggungjawab staf akademik merangkumi pengajaran, penyeliaan dan penilaian selain penyelidikan serta perkhidmatan. Kerangka berkenaan turut memberi perhatian kepada pengagihan beban tugas akademik yang sesuai.
Persoalannya, apabila pengajaran, penyelidikan, penerbitan, penyeliaan, geran, pentadbiran dan khidmat profesional perlu bergerak pada masa yang sama, apakah kesannya kepada individu yang memikul kesemuanya?
Siapakah yang menerima kesannya apabila tenaga akademik terlalu dibebani? Tentunya pensyarah itu sendiri, tetapi kesannya tidak berhenti di situ. Pelajar juga mempunyai kepentingan.
Pensyarah yang terpaksa membahagikan perhatian antara kelas, tarikh akhir penerbitan, penyeliaan, geran dan mesyuarat mempunyai ruang masa yang semakin sempit untuk memberikan maklum balas yang mendalam, mengadakan perbincangan tambahan atau membimbing pelajar secara individu.
Justeru, isu beban pensyarah sebenarnya bukan sekadar isu kebajikan pekerja. Ia berkait secara langsung dengan kualiti pendidikan yang diterima pelajar.
Menariknya, isu beban tugas dalam sektor pendidikan bukan perkara baharu di Malaysia. Namun, perhatian masyarakat dan dasar selama ini lebih mudah dilihat apabila melibatkan guru sekolah. Ini sangat munasabah kerana guru mempunyai tanggungjawab besar dan beban mereka bersentuhan secara langsung dengan jutaan murid serta keluarga.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah yang lebih khusus untuk menangani perkara tersebut. Kajian Indeks Kesejahteraan Guru yang melibatkan 23,625 responden merekodkan skor kesejahteraan 77.65 daripada 100.
KPM juga melaksanakan beberapa usaha mengurangkan tugas bukan pengajaran, termasuk penggunaan pembantu guru MySTEP. Pada 2025, seramai 564 pembantu guru ditempatkan di 282 sekolah menengah terpilih untuk membantu urusan perkeranian, peperiksaan, program sekolah dan kokurikulum.
Pada 2026, perhatian terhadap beban guru menjadi lebih jelas apabila Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 menggariskan pendekatan 80:20, dengan 80 peratus masa guru mata pelajaran disasarkan kepada aktiviti berkaitan pengajaran dan pembelajaran, manakala 20 peratus untuk tugas bukan pengajaran. KPM turut melaporkan penggunaan 20,997 sukarelawan peperiksaan SPM serta beberapa langkah lain bagi mengurangkan tugas sampingan guru.
Semua usaha ini wajar diberikan penghargaan. Guru perlu mempunyai ruang untuk mengajar kerana itulah kekuatan utama profesion mereka.
Namun, perkembangan ini juga mengajak kita bertanya satu soalan lain: bagaimana pula dengan pensyarah?
Perbandingan ini bukan untuk menentukan siapa lebih terbeban. Guru dan pensyarah bekerja dalam ekosistem yang berbeza dan kedua-duanya mempunyai cabaran masing-masing. Isunya ialah beban guru sudah mempunyai bahasa dasar yang lebih jelas dan mudah difahami Masyarakat.
Bagi pensyarah, bebannya lebih sukar dipisahkan kerana sebahagian besar tugas tambahan itu sendiri merupakan tugas hakiki seorang ahli akademik. Penyelidikan tidak boleh dibuang. Penyeliaan tidak boleh dihentikan.
Penerbitan penting kepada perkembangan ilmu. Khidmat masyarakat dan hubungan industri juga diperlukan. Persoalan sebenarnya ialah bagaimana semua tanggungjawab ini diagihkan secara munasabah kepada seorang manusia yang sama.
Dalam hal ini, terdapat perkembangan yang menggalakkan. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 menggariskan keperluan kepada petunjuk prestasi bakat yang lebih holistik, laluan kerjaya yang lebih pelbagai dan perhatian kepada kesejahteraan fizikal serta mental staf akademik dan pentadbiran.
Pelan Tindakan 2026–2028 pula secara khusus memasukkan usaha membangunkan Well-being Index bagi pendidikan tinggi yang merangkumi antaranya kesihatan mental, fizikal, emosi, kesejahteraan hidup dan kepuasan kerja.
Ini satu arah yang penting. Sistem penilaian prestasi sememangnya diperlukan, tetapi kecemerlangan akademik tidak seharusnya dinilai melalui bilangan semata-mata. Tidak semua bidang mempunyai pola penerbitan yang sama.
Tidak semua penyeliaan mempunyai tahap kesukaran yang serupa. Pensyarah yang mengurus sebuah program besar, menyelia ramai pelajar pascasiswazah atau banyak terlibat dalam kerja komuniti mungkin mempunyai corak beban yang sangat berbeza daripada rakan dalam bidang lain.
Universiti juga perlu terus menilai kerja rutin yang sebenarnya boleh dipermudah melalui teknologi atau dipindahkan kepada kakitangan sokongan.
Kepakaran seorang ahli akademik sebaiknya digunakan untuk perkara yang memerlukan pemikiran, penyelidikan, pengajaran dan bimbingan bukan terlalu banyak dihabiskan pada pengisian maklumat berulang dan dokumentasi yang boleh dipermudah.
Tulisan ini bukanlah untuk meminta masyarakat bersimpati kepada pensyarah atau menganggap profesion ini paling berat. Setiap pekerjaan mempunyai cabaran dan tekanannya sendiri. Apa yang penting ialah masyarakat memahami tugas pensyarah dengan lebih menyeluruh.
Apabila seorang pensyarah berkata ’sibuk seperti biasa’, itu bermakna mereka mengajar pada waktu pagi, berbincang dengan pelajar selepas kelas, menghadiri mesyuarat, membaca tesis, menyiapkan laporan geran dan menyemak tugasan pelajar selepas pulang ke rumah.
Pensyarah juga manusia biasa yang mempunyai keluarga, mereka perlu masa rehat dan mereka mempunyai batas tenaga.
Justeru, beban tugas pensyarah perlu dibincangkan dengan lebih terbuka agar mereka mempunyai ruang untuk melakukan perkara yang paling penting dalam tugas hakiki mereka iaitu mengajar dengan baik, membimbing pelajar, menjalankan penyelidikan dan menghasilkan ilmu yang bermanfaat untuk dikongsikan kepada masyarakat. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Siti Hadijah Che Mat dan Dr. Norzita Jamil ialah pensyarah di Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan
(ECOFI), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM).











