MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat mempunyai peluang seimbang untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila kedua-dua gabungan mempertaruhkan kekuatan masing-masing dalam usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari pengundian, Sabtu ini.
Memasuki minggu terakhir kempen, BN yang menerajui kerajaan negeri menyasarkan kemenangan maksimum 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama sekutunya, Perikatan Nasional (PN), manakala PH memberi tumpuan kepada 18 kerusi bagi membuka laluan untuk kembali mentadbir Melaka.
Persaingan dijangka sengit apabila BN mempertaruhkan rekod pentadbiran dan kekuatan jentera akar umbi, sementara PH berusaha mempertahankan pengaruh di kawasan bandar selain meraih sokongan pengundi atas pagar.
Daripada keseluruhan 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, BN meletakkan calon di 23 kerusi, manakala PN mengisi baki lima kerusi. PH pula bertanding di 24 kerusi, sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mencabar di tujuh kerusi.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pihaknya yakin mampu mencapai kemenangan maksimum 26 kerusi termasuk merampas empat kubu kuat PH yang kini disandang DAP.
Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, formula kemenangan BN adalah mengekalkan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN 2021, selain mengharapkan PN menyumbang sekurang-kurangnya dua kerusi.
Katanya, empat kerusi bandar iaitu Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana juga tidak mustahil dirampas sekali gus membuka ruang kepada kemenangan lebih besar.
“Jika DAP beranggapan kerusi-kerusi bandar adalah deposit tetap untuk selama-lamanya, maka mereka perlu menjadikan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai pengajaran.
“Saya tidak mengatakan susah untuk menembusi kerusi kubu kuat. Kubu kuat ini apa? Dulu Malaysia ini kubu kuat UMNO. Akhirnya UMNO tumbang.
“Kenapa? Pasti ada satu perkara yang menyebabkan rakyat sudah tidak mahu bersama UMNO ketika itu. Begitu juga dengan sekarang. Sebenarnya bukan DAP itu sendiri yang kuat, tetapi rakyat yang memberikan kekuatan kepadanya.
“Kita mempertahankan 21 kerusi dan menggariskan panduan supaya kelebihan yang ada pada rakan strategi kita dapat membantu mereka memenangi lebih daripada satu kerusi. Mungkin 23, mungkin 24, mungkin 25. Mungkin 26 pun tidak mustahil,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, gabungan berkenaan memberi tumpuan kepada 18 kerusi yang dikenal pasti berpotensi dimenangi bagi membolehkan PH kembali membentuk kerajaan negeri.
Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Katil berkata, sasaran itu termasuk mengekalkan lima kerusi sedia ada iaitu Bukit Katil, Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana.
Katanya, potensi kemenangan di 18 kerusi berkenaan akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan kempen dan penerimaan pengundi.
“Kita ada 18 kerusi fokus. Daripada 18 itu, kita akan nilai dari semasa ke semasa sejauh mana kita boleh mencapai sasaran. Sudah pasti kita harus mempertahankan kerusi yang kita sedia ada dan meningkatkan lagi jumlah kerusi utama kita.
“Saya selalu menyebut bahawa PH tidak boleh menang hanya dengan sokongan ahli dalam tiga parti ini. Kita memerlukan sokongan daripada rakyat negeri Melaka,” katanya.
Adly turut mengakui PH tidak mampu membentuk kerajaan negeri dengan hanya bergantung kepada sokongan ahli dan penyokong tiga parti komponennya, sebaliknya memerlukan sokongan lebih luas daripada rakyat.
Meskipun tiada persefahaman rasmi dengan Bersatu atau arahan supaya penyokong PH mengundi calon parti itu di kawasan yang tidak ditandingi gabungan berkenaan, beliau berkata, kedua-dua pihak berdepan lawan politik yang sama.
“Bagi kawasan yang tidak kita tandingi, mungkin ada sebahagian kawasan seperti Pantai Kundor. Jadi, kita tahu cabaran kita hari ini adalah persaingan yang kebanyakannya melibatkan PH, BN dan PN,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November selepas penamaan calon diadakan pada 31 Oktober lalu.
PRN kali ini menyaksikan 79 calon disahkan bertanding, termasuk daripada BN, PN, PH, Bersatu, Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta calon Bebas. – UTUSAN











