TIADA ibu yang sanggup melihat anak sendiri menanggung derita, apatah lagi apabila insan tersayang disahkan menghidap penyakit serius seperti kanser yang mengubah seluruh kehidupan sebuah keluarga.
Itulah dugaan berat yang terpaksa dilalui Pengasas Zaieys Global Resources, Zai Suhana Mohd. Tap apabila anaknya disahkan menghidap kanser mata, sekali gus menguji kekuatan emosi dan ketabahannya sebagai seorang ibu.
Keadaan itu turut memaksanya membuat keputusan besar meninggalkan pekerjaan demi memberikan sepenuh perhatian kepada rawatan dan penjagaan anak tersayang.
Namun, di sebalik ujian tersebut, Zai Suhana tidak mahu terus bergantung kepada keadaan, sebaliknya mengambil inisiatif membina sumber pendapatan sendiri dengan memulakan perniagaan minuman berasaskan buah durian belanda dari rumah.
Bermula dengan pengeluaran hanya 50 hingga 100 botol, usaha kecil-kecilan itu kini berkembang sehingga mampu menghasilkan kira-kira 3,000 botol minuman sebulan.
Zai Suhana berkata, ketika perlu mengimbangi tanggungjawab menjaga anak yang sakit dengan keperluan menyara keluarga, dia mengambil keputusan mempelajari sendiri kaedah pemprosesan buah durian belanda sebelum menghasilkan minuman untuk dijual kepada penduduk setempat.
“Pada awalnya, saya hanya menghasilkan minuman dalam kuantiti kecil untuk dijual kepada penduduk sekitar sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.
“Saya tidak pernah menjangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga perniagaan ini semakin berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, permintaan yang pada mulanya tertumpu dalam kalangan penduduk setempat semakin meningkat, sekali gus membuka peluang untuk memasarkan produk ke pasaran lebih luas.
Katanya, Zaieys Global Resources kini menghasilkan kira-kira 3,000 botol minuman sebulan dengan tiga pilihan perisa iaitu asli, madu dan lemon.
Penggunaan platform jualan dalam talian turut membantu memperluas capaian pasaran, sekali gus membolehkan produknya mendapat pelanggan dari seluruh negara.
Bagaimanapun, peningkatan permintaan turut menuntut pengurusan operasi yang lebih cekap, khususnya dalam aspek pembelian bahan mentah, pembungkusan, penyediaan stok dan peningkatan kapasiti pengeluaran.
Menyedari keperluan mendapatkan sokongan kewangan serta pengetahuan bagi mengembangkan perniagaan, Zai Suhana kemudian menyertai program iTEKAD Bank Muamalat yang menyediakan pembiayaan dan bimbingan keusahawanan kepada usahawan mikro.
Menerusi program itu, beliau menerima bantuan kewangan untuk membeli peralatan, menambah stok serta meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Lebih daripada sokongan kewangan, program berkenaan turut menyediakan bimbingan mentor, latihan perniagaan serta panduan berkaitan pengurusan dan pemasaran bagi membantunya mengendalikan operasi dengan lebih sistematik.
“Bimbingan dan idea yang dikongsikan membuka perspektif baharu kepada saya dalam menguruskan perniagaan.
“Banyak ilmu yang diperoleh dapat saya praktikkan secara langsung dan ia membantu perniagaan ini terus berkembang,” katanya.
Tidak terhenti setakat pengeluaran minuman, Zai Suhana turut mengambil langkah mempelbagaikan rangkaian produk berasaskan durian belanda termasuk teh dan produk buah yang diproses.
Langkah itu bukan sahaja membolehkannya meneroka segmen pasaran baharu, malah memenuhi cita rasa pelanggan yang lebih pelbagai serta mewujudkan sumber pendapatan tambahan.
Satu lagi pencapaian penting ialah kejayaan memperoleh pensijilan halal dengan bimbingan Bank Muamalat, sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk keluarannya.
Pensijilan berkenaan juga menjadi asas penting dalam perancangannya untuk memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing produk dalam industri makanan dan minuman.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, usaha memperkukuh keupayaan usahawan menjana pendapatan secara mampan merupakan antara matlamat utama pelaksanaan program iTEKAD.
Katanya, bagi usahawan yang perlu mengimbangi pengurusan perniagaan dengan tanggungjawab keluarga, peluang menjana pendapatan sendiri secara mampan mampu membawa perubahan besar terhadap kehidupan mereka.
“Melalui iTEKAD, kami menggabungkan sokongan kewangan dengan bimbingan perniagaan praktikal bagi membantu peserta memperkukuh operasi serta membina sumber pendapatan yang lebih stabil.
“Kemajuan Zai Suhana mencerminkan kesungguhan dan kesediaan beliau untuk terus belajar. Peranan kami adalah membantu mengembangkan hasil usahanya menerusi sokongan yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan,” katanya.-UTUSAN










