TROPICANA Corporation Berhad (Tropicana) menawarkan 480 unit rumah teres dua tingkat menerusi pelancaran fasa kedua Avisa Residences di Tropicana Alam, Puncak Alam.
Harga bermula RM612,800 bagi memenuhi permintaan terhadap kediaman bertanah yang menggabungkan ruang luas, ciri kelestarian dan kemudahan gaya hidup moden.
Pelancaran itu menyusuli kejayaan fasa pertama Avisa Residences yang mencatatkan kadar jualan melebihi 90 peratus daripada keseluruhan 431 unit ditawarkan, sekali gus mencerminkan penerimaan positif pembeli terhadap pembangunan kediaman berkonsepkan bandar terancang.
Fasa kedua yang dibangunkan di atas kawasan seluas 35.82 ekar itu menampilkan konsep Premium Green Terraces dengan pensijilan GreenRE Bronze, selain menawarkan keluasan binaan antara 1,917 kaki persegi hingga 2,351 kaki persegi.
Pembangunan berkenaan turut menampilkan susun atur kediaman lebih luas dan penambahbaikan reka bentuk bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga yang sedang berkembang serta mereka yang ingin menaik taraf kediaman.
Pengarah Urusan Pemasaran dan Jualan serta Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, Puncak Alam semakin berkembang sebagai koridor kediaman yang menarik berikutan peningkatan jaringan perhubungan, pertambahan kemudahan dan pertumbuhan komuniti setempat.
Menurutnya, sambutan menggalakkan terhadap fasa pertama membuktikan permintaan pasaran terhadap kediaman bertanah yang menawarkan gabungan harga kompetitif, keselesaan dan potensi pertumbuhan jangka panjang.
Katanya, pembeli masa kini bukan sekadar mencari sebuah rumah, sebaliknya turut mengutamakan persekitaran kejiranan yang terancang, ruang kediaman praktikal, kawasan hijau serta kemudahan yang menyokong kehidupan seharian.
“Fasa kedua Avisa Residences ditambah baik menerusi susun atur lebih luas, pensijilan GreenRE Bronze, prestasi terma lebih baik dan ciri cekap tenaga, sambil mengekalkan harga permulaan yang menarik.
“Ini mencerminkan visi OneTropicana kami iaitu ‘Connecting Communities, Forging Futures’ serta komitmen untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Antara kelebihan Tropicana Alam ialah pembangunan bandar terancang seluas 362 ekar yang memperuntukkan 29 peratus kawasan kepada ruang hijau dan badan air, sekali gus mengimbangi pembangunan moden dengan persekitaran semula jadi.
Kemudahan rekreasi yang disediakan termasuk taman seluas lima ekar dengan tasik, laluan joging dan berbasikal sepanjang 4.5 kilometer serta kedudukan bersebelahan Central Park seluas 33 ekar.
Persekitaran pembangunan berpagar dengan satu pintu masuk utama itu turut dikelilingi pelbagai kemudahan seperti sekolah, pusat kesihatan, pusat beli-belah dan kawasan rekreasi.
Dari aspek aksesibiliti, Tropicana Alam mempunyai hubungan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Lebuhraya Koridor Guthrie (Guthrie), Lebuhraya Bertingkat Damansara–Shah Alam (DASH), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Lebuhraya Penchala Link dan Lebuhraya Utara-Selatan.
Bagi memperkukuh ekosistem bandar terancang itu, Tropicana turut merancang pembangunan lot kedai pejabat dua tingkat yang bakal menjadi pusat komersial dan gaya hidup komuniti setempat.
Kawasan komersial berkenaan dirancang dengan konsep berhadapan taman dan tasik, selain menawarkan potensi kepada perniagaan makanan dan minuman, peruncitan, kesihatan serta pelbagai perkhidmatan harian.
Selain lokasi dan kemudahan, Avisa Residences fasa kedua turut mengetengahkan ciri kediaman yang mengutamakan kecekapan tenaga dan keselesaan penghuni.
Antara ciri reka bentuknya termasuk orientasi utara-selatan, siling berketinggian berganda dan pengudaraan silang bagi membantu meningkatkan aliran udara serta keselesaan terma.
Setiap unit turut dilengkapi tujuh kipas siling bertaraf empat bintang, penyaman udara inverter dan penebat bumbung jenis stone wool.
Penggunaan cat rendah sebatian organik meruap (VOC), konkrit hijau serta landskap tahan kemarau turut mencerminkan pendekatan pembangunan lebih mesra alam.
Kediaman itu ditawarkan dalam beberapa pilihan susun atur termasuk Type A dan Type B dengan pilihan lebar 20 kaki dan 22 kaki serta panjang 70 kaki.
Type B turut menampilkan susun atur dapur yang dipanjangkan sepenuhnya bagi menyediakan ruang lebih praktikal kepada keluarga.
Dalam perkembangan berkaitan, Tropicana turut memperkenalkan kempen pemilikan rumah LIVE+ Musim Ketiga yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Kempen edisi terakhir itu menawarkan pelbagai insentif termasuk peluang memenangi kerusi urut pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta hadiah utama penjimatan kos pemilikan rumah sebanyak 50 peratus kepada seorang pemenang bagi setiap pembangunan terpilih yang mengambil bahagian.
Pembeli yang layak turut menikmati pembiayaan penuh yuran guaman dan duti setem oleh Tropicana, selain ganjaran rujukan sehingga RM80,000 tertakluk kepada terma dan syarat.
Kemudahan pembiayaan fleksibel menerusi Skim Maybank MyDeco turut disediakan, manakala Skim Bayaran Mudah (EPS) menawarkan pilihan pembayaran bagi penyelesaian kelengkapan dalaman daripada Signature Malaysia.
Kempen berkenaan dijangka memberikan nilai tambah kepada pembeli rumah pertama, keluarga yang ingin menaik taraf kediaman serta pelabur yang sedang menilai peluang dalam pasaran hartanah.-UTUSAN











