Malaysia terus jadi pilihan pelabur gergasi dunia

Malaysia terus jadi pilihan pelabur gergasi dunia

DATUK Seri Anwar Ibrahim melihat replika Pusat Pengedaran Daiso di Taman Perindustrian Samudera, Pulau Indah, Klang, Selangor baru-baru ini.-FOTO BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBUKAAN pusat pengedaran global Daiso bernilai RM1.2 bilion di Pulau Indah, Selangor, serta pengembangan pelaburan Google di Malaysia dalam tempoh 48 jam mencerminkan keyakinan syarikat multinasional terhadap prospek ekonomi dan daya saing negara sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau ASEAN.

Kemasukan pelaburan berskala besar itu bukan sahaja memperlihatkan keupayaan Malaysia menarik modal asing, malah mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan serantau dan ekosistem ekonomi digital global.

Bagaimanapun, manfaat sebenar pelaburan seumpama itu tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah modal yang dibawa masuk atau skala kemudahan yang dibangunkan semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, impak jangka panjangnya perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pelaburan berkenaan merangsang aktiviti ekonomi domestik, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pelaburan seperti ini memberikan kesan langsung menerusi kemasukan modal asing bagi pembangunan bangunan, infrastruktur dan kemudahan operasi. 

Menurutnya, pada masa sama, ia turut membuka ruang kepada penggunaan teknologi serta sistem pengurusan pergudangan dan pengedaran yang lebih moden.

“Kesan tidak langsung pula dapat dilihat melalui pertambahan peluang pekerjaan dan perkembangan aktiviti perniagaan dalam sektor sokongan, termasuk pengangkutan, logistik, insurans serta pembekalan barangan dan perkhidmatan.

“Kehadiran Daiso yang mempunyai rangkaian 39 cawangan di Malaysia juga berpotensi membuka peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, khususnya dalam urusan penghantaran dan pengedaran barangan ke seluruh negara.

“Selain itu, aktiviti pengimportan barangan dari Jepun turut memberikan peluang kepada pemain industri tempatan seperti syarikat perkapalan, termasuk Malaysia International Shipping Corporation (MISC), serta syarikat insurans yang terlibat dalam perlindungan kargo dan perdagangan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Rizal, walaupun pembukaan gudang berskala besar berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, persoalan utama ialah sejauh mana pekerjaan tersebut mampu memberikan manfaat kepada tenaga kerja tempatan.

“Bagi jawatan operasi dan pekerjaan berkemahiran rendah, terdapat kemungkinan sebahagian besar tenaga kerja masih bergantung kepada pekerja asing berikutan kurangnya minat rakyat tempatan untuk mengisi pekerjaan di peringkat bawahan.

“Malah, kadar gaji minimum RM2,000 juga belum tentu mencukupi untuk menarik minat pekerja tempatan menceburi pekerjaan operasi tertentu, terutama apabila mengambil kira beban kerja dan keadaan persekitaran pekerjaan.

“Bagaimanapun, peluang kepada rakyat tempatan dijangka lebih besar bagi jawatan penyeliaan, pengurusan dan pentadbiran yang memerlukan kemahiran serta kepakaran tertentu,” katanya.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu memastikan kemasukan pelaburan asing turut disertai komitmen terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan melalui latihan, peningkatan kemahiran dan peluang kenaikan pangkat.

“Namun, dari sudut pemindahan teknologi, kesan pelaburan Daiso mungkin tidak begitu signifikan berbanding pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi atau industri berintensifkan penyelidikan dan pembangunan.

“Hal ini kerana Daiso beroperasi dalam sektor peruncitan yang kebanyakannya menawarkan barangan keperluan harian dengan tahap teknologi produk yang relatif rendah, selain harga yang kompetitif dan jangka hayat produk yang tidak semestinya panjang.

“Oleh itu, manfaat pembangunan modal insan melalui pelaburan seumpama ini lebih berkemungkinan tertumpu kepada kemahiran pengurusan inventori, operasi pergudangan, pengedaran dan pengurusan rantaian bekalan berbanding pemindahan teknologi tinggi.

PKS tempatan berpeluang menjadi pembekal,” katanya. 

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan syarikat multinasional memilih Malaysia tidak hanya didorong faktor kos operasi yang kompetitif, sebaliknya turut mengambil kira kestabilan politik, kedudukan strategik, infrastruktur serta keupayaan negara menyediakan tenaga kerja berkemahiran.

“Sementara itu, dalam keadaan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai negara yang mengekalkan hubungan perdagangan dengan kedua-dua kuasa ekonomi berkenaan.

“Kedudukan ini memberikan keyakinan kepada pelabur yang memerlukan persekitaran operasi lebih stabil serta akses kepada pasaran antarabangsa,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, kemudahan infrastruktur termasuk Pelabuhan Klang, rangkaian pengangkutan dan kawasan perindustrian sedia ada turut menjadi faktor yang meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai hab operasi serantau.

“Pelaburan Daiso di Pulau Indah, misalnya, membabitkan kemudahan pengedaran terbesar syarikat itu di dunia yang akan mengendalikan kira-kira 4,600 kontena setahun untuk pasaran di 27 negara Asia dan Asia Barat.

“Sementara itu, pengembangan operasi Google menerusi pembangunan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem ekonomi digital, khususnya perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI).

“Pelaburan dalam kedua-dua sektor itu turut berpotensi mewujudkan limpahan ekonomi kepada tenaga kerja tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekiranya peluang penyertaan industri domestik dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya. – UTUSAN 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini