Gesa perintah tahanan rumah Najib dilaksana serta-merta

Gesa perintah tahanan rumah Najib dilaksana serta-merta

MOHD. HILMI ELIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Perintah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dilaksanakan serta-merta selepas denda berkaitan kes beliau diselesaikan dan Perintah Pelepasan Setelah Membayar Denda (Order of Discharge on Payment of Fine) dikeluarkan.

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd. Hilmi Elias berkata, beliau berpandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan perintah berkenaan hanya melalui kenyataan media.

Beliau berkata, penyelesaian denda dan pengeluaran perintah mahkamah berkenaan menunjukkan bahawa syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, justeru pelaksanaan tahanan rumah sepatutnya berkuat kuasa tanpa sebarang penangguhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga percaya bahawa AGC tiada hak atau kuasa yang boleh menyebabkan penangguhan pelaksanaan perintah tersebut apatah lagi dengan hanya mengeluarkan kenyataan media.

“Sebarang isu perundangan atau apa-apa bantahan dan pertikaian perlu diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan UMNO mengesahkan segala proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian dilapor menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.

AGC dipetik berkata, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

Menurut Mohd Hilmi, pihak Jabatan Penjara perlu melaksanakan perintah mahkamah itu selaras dengan Titah Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan sebelum ini.

Katanya, Najib berhak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah dan perkara itu tidak sepatutnya ditangguhkan atas keputusan sepihak tanpa melalui proses perundangan yang sewajarnya.

Beliau turut berpandangan bahawa isu berkaitan penghinaan mahkamah (contempt of court) dan penahanan salah (false imprisonment) boleh dibangkitkan serta dibincangkan dari sudut perundangan.

“Prinsip yang perlu dipertahankan ialah keadilan melalui undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini