KOTA DAMANSARA: Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengakui kecaman bertubi-tubi netizen susulan kesilapan bacaan surah Al-Fatihah dan Al-Fil ketika mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya memberi kesan terhadap emosi keluarganya.
Aliff, 39, berkata, komen negatif yang dilemparkan bukan sahaja menjejaskan emosinya, malah turut membuatkan anak-anak berasa malu sehingga mempersoalkan perkara yang berlaku.
Menurutnya, dia tidak menafikan kekurangan dalam membaca dan menghafaz ayat Al-Quran, selain mengakui berdepan masalah ADHD dan disleksia yang menyukarkannya untuk menghafal.
“Bila orang menghina saya, anak-anak sampai malu dan tanya kenapa jadi macam ini.
“Anak-anak tahu saya ini membaca Al-Quran pun tidak betul. Jujur, saya ada masalah ADHD dan disleksia, saya struggle nak menghafal.
“Sekarang inilah saya dapat mengaji dan beri tazkirah kepada anak-anak. Sebelum ini saya tidak pernah buat. Kalau baca komen, rasa macam saya terus down,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran YES (Year End Sale Promotions) D’Herbs di Wisma D’Herbs, Kota Damansara, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Aliff menegaskan perkongsiannya mengenai solat berjemaah bersama anak-anak di media sosial bukan bertujuan mempermainkan atau memperlekehkan agama.
“Saya tidak pernah memperlekehkan atau merendahkan agama. Saya buat perkara itu (siaran langsung solat) bukan dengan niat apa-apa pun.
“Saya mengaku ada khilaf, namun netizen banyak membuat provokasi seolah-olah saya mempermainkan agama.
“Kenapa orang kejam sangat dengan saya? Banyak lagi orang buat video yang mengarut, tetapi saya pula dihina melampau-lampau,” ujarnya.
Terdahulu, tular video memaparkan Aliff mengimamkan solat berjemaah bersama anak-anaknya yang mengundang perhatian ramai selepas terdapat kesalahan dalam bacaan surah al-Fatihah dan al-Fil.
Susulan itu, Aliff menerusi temu bual bersama mStar mengakui kesilapan berkenaan selain tampil memohon maaf.
Bagaimanapun, penceramah bebas, Ustaz Hafiz Afandi yang meneliti rakaman tersebut mendakwa terdapat beberapa kesalahan dalam bacaan surah al-Fatihah, iaitu antara rukun solat.
Hafiz turut menyarankan Aliff mendapatkan bimbingan daripada individu yang lebih arif bagi memperbetulkan bacaan dalam solat.











