Bukan semua hubungan kekeluargaan yang terbina selepas sebuah perkahwinan baharu berakhir dengan baik.
Ada yang mampu menerima kehadiran kehadiran ahli keluarga baharu dengan hati terbuka, tetapi ada yang terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk menyesuaikan diri.
Minggu ini saya kongsikan kisah Nabila dan Reen, (bukan nama sebenar) yang ditemukan dalam sebuah keluarga selepas ibu bapa mereka berkahwin semula.
Nabila kehilangan ibu ketika masih kecil. Manakala Reen pula kehilangan bapa pada usia lima tahun. Beberapa tahun kemudian, kedua ibu bapa mereka ditakdirkan mendirikan rumah tangga.
Malek dan Ainun (bukan nama sebenar) percaya, bahawa perkahwinan itu bukan sahaja memberi peluang untuk membina kebahagiaan baharu, malah menyediakan sebuah keluarga yang lebih lengkap untuk anak-anak.
Namun ada sesuatu yang tidak semudah dijangka. Rupa-rupanya, Nabila dan Reen masih belum benar-benar menerima kehadiran satu sama lain.
Dalam diri masing-masing wujud perasaan cemburu, takut disisih, malah mengganggap saudara tiri sebagai pesaing untuk merebut kasih sayang dan perhatian ibu bapa.
Kisah kedua saudara tiri ini dikongsikan tuan punya badan Nabila dan Reen dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Menurut Nabila, mereka tidak berniat untuk membuka kisah silam, apatah lagi mengungkit perkara yang sudah lama berlaku. Kisah itu sekadar pengajaran bahawa hubungan kekeluargaan tidak semestinya sentiasa indah dan sempurna.
Ada kalanya, salah faham, cemburu dan ego menjadi penghalang kepada sebuah hubungan yang sepatutnya dibina dengan kasih sayang.
“Alhamdulillah, hari ini kami sudah berbaik dan semakin rapat. Tiada lagi keperluan untuk bersaing seperti dahulu. Dahulu kami belum matang dan belum tahu menghargai hubungan kekeluargaan,” ujar Nabila sambil memandang saudara tirinya dengan senyuman penuh makna.
Memulakan cerita, kata Nabila, dia dan Reen antara dua anak perempuan yang membesar dalam sebuah keluarga baharu.
Dia menjalani kehidupan tanpa seorang ibu sejak kecil. Pemergiaan ibunya meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan. Dua tahun kemudian, bapa bertemu jodoh dengan ibu Reen, seorang ibu tunggal.
“Ibu tiri seorang yang baik. Dia melayan saya seperti anak kandung sendiri. Namun bagi saya menerima ibu baharu mungkin lebih mudah berbanding menerima seorang saudara tiri.
“Ini kerana saya terpaksa berkongsi segala-galanya dengan orang lain,” ujarnya.
Tanpa disedari kata Nabila, saudara tirinya itu juga mempunyai perasaan yang hampir sama. Reen yang pernah melalui pengalaman membesar tanpa seorang bapa, juga mempunyai rasa cemburu, takut kehilangan perhatian dan ingin menjadi anak yang lebih disayangi.
Menurut Nabila, bukan sengaja mahu bermusuhan, tetapi mereka belum benar-benar memahami bahawa kasih sayang ibu bapa tidak sepatutnya menjadi satu perebutan.
Konflik pertama bermula apabila bapa membeli sepasang pakaian untuk mereka. Tetapi apabila bapa memuji Reen, Nabila berasa tidak senang. Ada cemburu di hati.
Perkara kecil seperti itu berulang dalam kehidupan seharian mereka tanpa disengajakan. Mereka mula bersaing secara senyap.
“Siapa yang mendapat perhatian bapa, siapa yang lebih dipuji ibu. Siapa yang lebih bijak dan cemerlang dalam pelajaran.
“Apabila berlaku perselisihan faham, kami mahu menang. Ada ketika kami saling mengadu, saling membandingkan dan menyimpan perasaan tidak puas hati,” ujarnya.
Menurut Nabila, setiap kali ada perselisihan, ibu tiri sering menjadi orang tengah. Walaupun cuba berlaku adil, semua keputusan masih dilihat berpihak kepada Reen.
Bercerita lanjut kata Nabila, apabila meningkat remaja, persaingan itu tidak lagi sekadar tentang permainan atau barang kesukaan. Sebaliknya melibatkan pencapaian akademik dan penampilan diri.
Masa berlalu. Nabila dan Reen berjaya melangkah ke menara gading. Bidang dan tempat pengajian mereka berbeza.
Seorang di utara, seorang lagi di selatan tanahair. Jarak mula memisahkan mereka.
“Buat pertama kalinya kami menjalani kehidupan sendiri tanpa perlu berkongsi ruang, perhatian dan rutin harian.
“Saya dan Reen mula mengenali dunia luar. Kami bertemu dengan pelbagai jenis kawan, belajar menguruskan diri, kewangan dan tekanan semasa belajar.
“Sedikit demi sedikit, kami mula sedar dan memahami bahawa kehidupan bukanlah perlumbaan. Saya juga mula sedar perhatian ibu bapa bukan sesuatu yang boleh diukur melalui siapa yang lebih disayangi,” ujar Nabila.
Menyambung cerita kata Nabila, walaupun begitu, hubungan mereka masih belum benar-benar rapat. Mereka hanya bertemu ketika cuti semester.
Selepas tamat pengajian, masing-masing mula memasuki dunia pekerjaan dan membina kehidupan sendiri. Nabila bekerja dalam bidang perbankan, manakala Reen juga memperoleh pekerjaan dalam bidang diminati iaitu perguruan.
Apabila usia semakin meningkat, cara mereka melihat kehidupan juga berubah.
“Saya dan Reen mula memahami bahawa tidak sepatutnya ada perebutan atau iri hati dalam kasih sayang. Kami juga semakin sedar, di sebalik perselisihan faham yang pernah berlaku antara kami berdua, ibu tiri dan bapa adalah insan yang menyimpan harapan sama.
“Kedua -duanya mahu kami hidup dengan kasih sayang dan saling menghormati,” giliran Reen bersuara.
Menyingkap semasa zaman kanak-kanak, kata Nabila, dia mula memahami, bahawa bukan dirinya seorang yang pernah berasa takut tempat dalam keluarga, Reen juga mempunyai perasaan yang sama.
Mereka bukan musuh. Mereka cuma anak perempuan yang sedang belajar menerima sebuah keluarga baharu.
“Setelah dewasa, kami mula melihat hubungan itu daripada sudut berbeza. Kami mungkin tidak boleh menjadi adik-beradik yang terlalu rapat, seperti orang lain. Ini kerana kami ada cara fikir, dan pendapat yang berbeza.
“Namun saya mula memahami bahawa hubungan kekeluargaan tidak sepatutnya menjadi medan persaingan yang tiada penghujung.
“Kini kami tidak perlu membuktikan siapa lebih disayangi, siapa paling bijak, siapa lebih disayangi atau siapa lebih penting dalam keluarga,” ujar Nabila.
Apa yang lebih penting kata Nabila, ialah menghargai insan yang masih ada iaitu kedua ibu bapa mereka. Bapa ialah orang yang pernah putus asa menyatukan keluarga dan ibu tiri yang tidak pernah jemu memberi nasihat.
Kisah Nabila dn Reen memberi pengajaran kasih sayang dan perhatian ibu bapa bukan untuk direbut kerana setiap anak mempunyai tempat dan keistimewaan tersendiri.
Kisah dua saudara tiri yang pernah berselisih faham dan akhirnya kembali baik ini membuktikan hubungan persaudaraan bukan sekadar pertalian darah. Ia juga tentang bagaimana seseorang belajar menerima, menghormati, memahami dan menyayangi insan yang hadir dalam kehidupan mereka.
Dalam Islam, kita dituntut untuk berbuat baik dan berusaha memperbaiki hubungan sesama saudara. Sebagaimana Firman Allah SWT, “Sesungguhnya, orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu (yang bertelingkah) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat,”- Surah Al-Hujurat 49 ayat 10.











