DOHA: Pelumba Sepanyol, Jorge Martin mengakui tahap kecergasan pergelangan tangan kanannya yang patah semakin pulih kepada 50 peratus menjelang perlumbaan MotoGP Qatar, hujung minggu ini.
Perkembangan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahap pemulihannya yang hanya 20 peratus ketika beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia sebelum ini, sehingga memaksanya menarik diri daripada perlumbaan akibat kecederaan berkenaan.
Bagaimanapun, Martin berkata, tulang pergelangan tangannya masih belum sembuh sepenuhnya dan belum dapat dipastikan sama ada dia mampu mengharungi keseluruhan aksi di Litar Antarabangsa Lusail.
“Sekarang saya berasa jauh lebih baik dan kekuatan tangan saya juga semakin kembali. Sudah tentu, keadaan masih belum pulih sepenuhnya kerana tulang masih patah, tetapi saya akan cuba menunggang motosikal sebaik mungkin.
“Saya akan cuba menahan kesakitan sepanjang perlumbaan dan kita lihat sama ada saya mampu menghabiskan keseluruhan aksi hujung minggu ini,” katanya.
Martin turut menjelaskan tahap pemulihan pergelangan tangannya kini jauh lebih baik berbanding ketika beraksi di Malaysia, sekali gus memberinya keyakinan untuk kembali bersaing.
“Ketika di Malaysia, keadaan pergelangan tangan saya mungkin hanya 20 peratus, manakala sekarang sudah meningkat kepada 50 peratus.
“Jika saya mampu memanfaatkan sepenuhnya kemampuan 50 peratus itu ketika berlumba, ia mungkin sudah mencukupi untuk mendapatkan keputusan yang baik dan mengutip beberapa mata.
“Dalam sukan permotoran, apa sahaja boleh berlaku dan kami akan berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.
Martin mengakui peluangnya untuk merebut gelaran dunia kini bergantung kepada keputusan Marquez yang berada di kedudukan lebih baik dalam kejuaraan.
“Tentunya, Marc satu-satunya pelumba yang boleh kehilangan atau mengesahkan kejuaraan dunia. Segalanya bukan dalam kawalan saya, tetapi saya berharap dia tidak memenangi perlumbaan hujung minggu ini,” katanya. – AGENSI











