Sime Darby Property raih pengiktirafan pemuliharaan biodiversiti

Sime Darby Property raih pengiktirafan pemuliharaan biodiversiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menerima pengiktirafan Perak dalam kategori Pemuliharaan Biodiversiti pada Asia ESG Positive Impact Awards 2026 menerusi projek Hamilton Biodiversity Park (HBDP).

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kumpulan pemaju hartanah berkenaan dalam mengintegrasikan aspek pemuliharaan biodiversiti ke dalam perancangan dan pembangunan bandar.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, tanggungjawab syarikat hartanah bukan hanya tertumpu kepada pembangunan kediaman dan bandar, malah turut merangkumi pemeliharaan ekosistem semula jadi yang menyokong kehidupan komuniti setempat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, menerusi Hamilton Biodiversity Park, kumpulan itu berhasrat menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti yang seiring dengan pembangunan hartanah serta menyokong kelestarian alam sekitar.

“Hamilton Biodiversity Park meliputi kawasan kira-kira 114.9 hektar di dalam Hamilton Nilai City dan sedang dipulihkan daripada kawasan yang sebelum ini mengalami kemerosotan ekologi kepada kawasan ekosistem yang berfungsi.

“Taman biodiversiti itu turut menyokong pemeliharaan habitat dan pemulihan ekosistem, selain berpotensi memperkukuh hubungan ekologi antara Hutan Simpan Kekal Galla dengan kawasan pembangunan perindustrian yang semakin berkembang.

“Antara kemudahan yang dirancang termasuk koridor biodiversiti dan laluan denai alam semula jadi bagi meningkatkan kesalinghubungan ekologi di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Lai berkata, pengiktirafan itu turut mendorong kumpulan berkenaan meneruskan usaha mengintegrasikan pertimbangan biodiversiti dalam setiap pembangunan serta memperkukuh peranan alam semula jadi dalam komuniti.

Asia ESG Positive Impact Awards dianjurkan oleh Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC) bagi mengiktiraf organisasi di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang menunjukkan komitmen terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Sebanyak 54 penerima anugerah Emas dari ketiga-tiga negara itu mara ke peringkat serantau sebelum inisiatif masing-masing dinilai panel juri antarabangsa.

Anugerah berkenaan turut menjadi platform perkongsian amalan terbaik dan menggalakkan kerjasama serantau dalam aspek daya tahan iklim, amalan perniagaan bertanggungjawab, kesaksamaan sosial serta pembangunan mampan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini