KUALA LUMPUR: Model insurans e-hailing yang lebih fleksibel berdasarkan jarak perjalanan dan profil risiko pemandu perlu diperluas bagi memastikan kos perlindungan lebih seimbang dengan pendapatan serta kekerapan pemanduan pekerja gig.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, Hafidzi Razali berkata, langkah kerajaan mengkaji model insurans e-hailing dinamik merupakan perkembangan positif dalam mengiktiraf kepelbagaian corak penyertaan rakyat dalam sektor berkenaan.
Katanya, pendekatan itu perlu diterjemahkan kepada pilihan perlindungan yang praktikal dan mudah diakses oleh pemandu sepenuh masa, separuh masa serta mereka yang memandu secara sekali-sekala, termasuk menggunakan lebih daripada satu platform e-hailing.
“Anggaran rasmi menunjukkan kira-kira 1.64 juta rakyat Malaysia terlibat dalam pekerjaan gig pada akhir 2025, termasuk lebih 164,000 pemandu e-hailing berdaftar di bawah 31 pengendali berlesen.
“Sebahagian pemandu bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama, manakala selebihnya menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan tambahan selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu.
“Justeru, kos perlindungan insurans tahunan boleh memberi beban lebih besar kepada pemandu yang jarang mengambil penumpang dan memperoleh pendapatan lebih rendah daripada aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, perbezaan dari segi kekerapan dan corak pemanduan inilah yang belum sepenuhnya diambil kira dalam struktur insurans semasa.
“Persoalannya adalah sama ada perlindungan yang tersedia boleh disesuaikan dengan perbezaan tersebut tanpa menjejaskan tahap perlindungan,” katanya.
Hafidzi berkata, insurans e-hailing yang diperkenalkan pada 2017 sebagai perlindungan tambahan kepada polisi komprehensif persendirian merupakan antara kos operasi yang perlu ditanggung pemandu.
Katanya, sekiranya kos mengekalkan perlindungan tidak lagi seimbang dengan pendapatan yang dijangka diperoleh, penyertaan pemandu separuh masa dalam sektor itu berkemungkinan menjadi kurang berdaya maju.
Beliau berkata, terdapat pemandu yang berdepan peningkatan premium ketara, dengan premium pembaharuan polisi bagi tempoh 2025/2026 dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, jika semakin ramai pemandu separuh masa dan sekali-sekala mengambil keputusan meninggalkan sektor itu berikutan kos perlindungan, keadaan berkenaan boleh mengurangkan fleksibiliti serta kapasiti keseluruhan ekosistem e-hailing.
Dalam pada itu, ujarya, Kementerian Kewangan melalui jawapan bertulis Parlimen pada Julai 2026 turut menjelaskan kenaikan premium perlu disokong bukti berdasarkan data tuntutan sebenar, manakala sebarang pelarasan perlu dilaksanakan secara berperingkat dan telus di bawah pemantauan BNM.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pendekatan insurans harian atau berasaskan penggunaan boleh dipertimbangkan sebagai alternatif kepada pemandu yang tidak memerlukan perlindungan sepanjang tahun.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan disiplin pengunderaitan, rekod tuntutan mencukupi, data pemanduan yang boleh dipercayai serta teknologi bagi mengesahkan tempoh perlindungan berkuat kuasa.
“Selain itu, pelaksanaan projek perintis yang diselia bagi perlindungan jangka pendek boleh dipertimbangkan dengan data tuntutan dianalisis dan dapatan keseluruhan dikongsikan selepas tempoh percubaan.
“Kerangka perlindungan yang mengambil kira kepelbagaian corak pemanduan, selain menjaga kepentingan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain, penting bagi memastikan ekonomi gig berkembang secara lebih mampan dan inklusif,” katanya.-UTUSAN











