PETALING JAYA: Lebih 50 pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di kawasan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Jalan Langgak Duta, di sini, bagi liputan perkembangan terbaharu perintah tahanan rumah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati mereka mula berkumpul sejak kira-kira pukul 2 petang tadi.
Kehadiran petugas media itu turut disusuli kawalan keselamatan ketat oleh pihak polis yang telah memasang pita garisan polis bagi mengehadkan pergerakan kenderaan tidak dibenarkan memasuki laluan menuju ke kediaman Najib.
Seramai lebih 50 pegawai dan anggota Polis Daerah Sentul serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut ditempatkan di sekitar kawasan berkenaan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran trafik.
Kira-kira pukul 2.40 petang, dua buah van Jabatan Penjara Malaysia dilihat memasuki kawasan kediaman Najib.
Difahamkan, satu sidang akhar oleh barisan peguam Najib dijadualkan berlangsung petang ini sebaik beliau tiba di kediaman berkenaan.
Terdahulu, Najib dilihat keluar dari Penjara Kajang kira-kira pukul 2.37 petang sebentar tadi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak.
Kenderaan yang membawa bekas pemimpin UMNO itu meninggalkan kawasan penjara dengan kawalan beberapa kenderaan pengiring serta sebuah van Jabatan Penjara.
Pembayaran denda RM50 juta merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan serta hukuman terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.- UTUSAN











