Ginie mahu bawa stesen minyak ke Machap Jaya - Utusan Malaysia

Ginie mahu bawa stesen minyak ke Machap Jaya

GINIE Lim Siew Lin beramah mesra dengan penduduk ketika berkempen di sekitar DUN Machap Jaya, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keperluan sebuah stesen minyak yang lebih dekat dengan kawasan penempatan penduduk menjadi antara perkara yang dibangkitkan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata, cadangan itu disuarakan penduduk bagi memudahkan urusan harian mereka.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan jabatan serta pengusaha berkaitan bagi meneliti lokasi, keperluan dan kesesuaian cadangan tersebut sekiranya diberikan mandat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada penduduk menyuarakan keperluan sebuah stesen minyak yang lebih dekat untuk memudahkan urusan harian.

“Bagi cadangan stesen minyak pula, saya akan berbincang dengan jabatan serta pengusaha berkaitan mengenai lokasi, keperluan dan kesesuaiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ginie berkata, selain keperluan stesen minyak, penduduk turut membangkitkan isu kemudahan asas dan penyelenggaraannya yang memerlukan perhatian.

Katanya, antara kemudahan yang perlu diberi perhatian ialah padang bola di Hutan Percha yang masih tidak mempunyai kelengkapan mencukupi.

“Saya juga membangkitkan keadaan padang bola di Hutan Percha yang kemudahannya tidak lengkap.

“Perkara sebegini mungkin nampak kecil, tetapi kesannya dirasai setiap hari, termasuk oleh kanak-kanak dan anak muda yang memerlukan ruang untuk beriadah,” katanya.

Mengulas mengenai kempen yang memasuki hari keenam, beliau berkata, penerimaan penduduk sekitar cukup memberangsangkan di mana mereka banyak meluahkan harapan dan masalah.

“Penerimaan penduduk setakat ini cukup baik dan memberi semangat kepada saya serta pasukan.

“Sepanjang kami turun ke kampung, kawasan ladang dan Felda, ramai yang sudi berkongsi pandangan, menceritakan masalah setempat dan menyampaikan harapan mereka untuk lima tahun akan datang.

“Bagi saya, pandangan inilah yang perlu menjadi asas kepada perancangan pembangunan Machap Jaya,” katanya.

Pada PRN Melaka kali ini, Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ginie; calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi, Datuk Ngwe Hee Sem dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), B. Prasanth Kumar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini