Dr. Joohari mahu putihkan 1,563 undi kelabu di Sungai Bakap

Dr. Jo mahu putihkan 1,563 undi kelabu di Sungai Bakap

DR. Joohari Ariffin (kiri) Ketika sidang akhbar di NADI Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mengakui tertekan susulan harapan tinggi yang diletakkan terhadapnya untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kekuatannya bertambah dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada jentera parti-parti komponen serta kepimpinan tertinggi sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

“Secara peribadi, saya memang tertekan kerana semua orang meletakkan harapan tinggi, apatah lagi Sungai Bakap bukan ‘status quo’. Maksudnya, sebelum ini menang, sekarang menang, sebaliknya, kini kita mahu menang di tempat yang kita kalah.

“Sebab itu kita perlu bekerja keras dan tidak mustahil sekiranya 1,563 undi yang disifatkan penganalisis politik sebagai undi kelabu akan dapat kita putihkan,” katanya semasa sesi ramah bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Simpang Ampat di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pengalamannya bergelar pendidik akan digunakan untuk menarik undi anak muda.

“Kita perlu dekati pengundi pertama kali (first voter) dengan ilmu kerana bagi saya, orang baru (mengundi) ini kalau mereka yakin dengan seseorang (calon) yang boleh kekalkan dua tiga penggal, dia akan undi (calon) yang sama.

“Kita kena beri ilmu yang betul kepada orang muda, kerana mencari ilmu bukannya hanya dalam 30 saat dan berdasarkan Tik Tok, sebaliknya kena kekalkan tradisi dengan belajar, masuk kuliah, buat ‘research’ dan ‘reference’.

“Orang yang hanya dengar khabar angin ‘hearsay’ tanpa ilmu takkan ke mana, semangat sahaja akan naik namun semangat pun ada naik turunnya. Bila kita tukar, semangat itu boleh berubah,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap manakala hari pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai.

Pilihan raya tersebut terpaksa diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yanglepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal ketika itu menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN