Cemburu itu perkara biasa dalam rumah tangga. Malah, ada kalanya perasaan itu menjadi tanda seseorang mengambil berat terhadap pasangannya.
Namun, apabila cemburu sudah sampai tahap keterlaluan sehingga setiap wanita yang memandang suami dianggap mahu menggoda, itu sudah menjadi sesuatu yang membimbangkan.
Ada segelintir isteri yang terlalu sensitif apabila melihat wanita lain berinteraksi dengan suami mereka. Baru sekadar berpandangan, sudah mula menjeling.
Kalau wanita itu tersenyum atau bertegur sapa, mulalah timbul pelbagai sangkaan kononnya mahu menarik perhatian suami.
Lebih mengejutkan, ada yang tidak segan silu menegur, menyindir malah memarahi wanita berkenaan di hadapan orang ramai.
Seolah-olah wanita itu sudah melakukan kesalahan besar, sedangkan mungkin mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain.
Persoalannya, adakah setiap wanita yang memandang seorang lelaki benar-benar mempunyai niat untuk menggoda? Tidak semestinya.
Kadangkala orang memandang kerana kebetulan, mahu bertegur sapa atau sekadar urusan biasa. Tidak semua perkara perlu dikaitkan dengan soal merampas suami orang.
Kalau setiap wanita yang bercakap dengan suami dianggap ancaman, sampai bila mahu hidup dalam keadaan penuh curiga? Di tempat kerja, restoran atau majlis keramaian, interaksi antara lelaki dan wanita memang tidak dapat dielakkan.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana suami menjaga batas pergaulan dan kepercayaan yang diberikan oleh isteri.
Jangan pula terlalu sibuk memerhatikan wanita lain sehingga terlupa suami sendiri turut mempunyai tanggungjawab menjaga kesetiaan.
Jika benar ada perkara mencurigakan, berbincanglah dengan pasangan. Tidak perlu terus menyerang wanita lain, apatah lagi memalukan mereka di khalayak ramai hanya berdasarkan andaian sendiri.
Cemburu melampau bukan tanda kasih sayang yang lebih besar. Sebaliknya, ia boleh merosakkan keharmonian rumah tangga dan membuatkan pasangan berasa tertekan.
Cemburu biarlah bertempat kerana bukan semua wanita mahu suami anda. Kadangkala, mereka cuma memandang ke arah yang sama!
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.











