Perang Iran-AS bakal berakhir? - Utusan Malaysia

Perang Iran-AS bakal berakhir?

PERANG Iran yang dimulakan oleh Amerika Syarikat (AS) bersama Israel kemungkinan berakhir selepas kekalahan parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Perang Iran yang dimulakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama Israel pada 28 Februari bakal berakhir susulan kekalahan parti Republikan untuk menguasai Dewan Perwakilan dan Dewan Senat di Kongres dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.

Ketua Demokrat di Senat, Chuck Schumer berkata, perang Iran mesti ditamatkan dan mencadangkan partinya yang menguasai majoriti kedua-dua dewan itu boleh menggunakan kuasa mengawal peruntukan dana kerajaan untuk mendesak konflik tersebut dihentikan.

“Perang ini mesti berakhir. Ia mesti berakhir,” kata Schumer kepada wartawan pada Rabu, sambil menyatakan bahawa kuasa peruntukan kewang­an adalah antara cara untuk menghalang seorang presiden daripada melancarkan perang tanpa persetujuan rakyat Amerika.

Memuatkan artikel berkaitan…

Parti Demokrat berhujah bahawa Trump yang mewakili Republikan melancarkan perang tanpa kebenaran Kongres AS.

Menurut wakil-wakil rakyat daripada parti tersebut, kebenaran itu diwajibkan di bawah Perlembagaan AS, yang memberikan Kongres kuasa untuk mengisytiharkan perang.

Pada pertengahan September, Dewan Perwakilan meluluskan resolusi ketiga dengan 220 undi menyokong berbanding 204 menentang, dengan tujuh anggota Republikan menyertai Demokrat bagi membantah perang itu.

Ketika itu, 19 anggota tentera AS terbunuh dan lebih 750 cedera, menurut angka yang dipetik pada masa berkenaan.

Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) berkata, perang itu menelan belanja lebih AS$38 bilion (RM154 bilion)  setakat 1 Ogos dan mengunjurkan kadar inflasi meningkat 0.5 mata peratusan menjelang 2027.

Resolusi kuasa perang sukar dikuatkuasakan, sebahagiannya kerana Trump mempunyai kuasa untuk memvetonya. 

Susulan  Demokrat  menguasai kedua-dua dewan Kongres selepas pilihan raya pertengahan penggal, keupayaan mereka mempengaruhi peruntukan dana kerajaan boleh menjadi satu lagi saluran untuk mencabar perang itu.

Dalam pilihan raya itu, Demokrat memperoleh 54 kerusi manakala Republikan hanya mendapat 44 kerusi.

Parti Demokrat turut mendapat 245 kerusi dan Republikan hanya memperoleh 147 kerusi di Dewan Perwakilan.

Susulan kekalahan itu, Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance menyalahkan perang Iran sebagai punca kekalahan partinya dalam pilihan raya pertengahan penggal.

Dalam kenyataan sepanjang 600 patah perkataan yang disusun dengan teliti menerusi platform X, Naib Presiden itu mengakui pengundi yang menyokong Trump pada 2024 telah beralih sokongan sehingga menyebabkan Republikan tewas dalam pilihan raya pertengahan penggal.

“Punca kekalahan kita ialah perang itu. presiden sendiri berkata demikian malam tadi,” tulisnya.

Dalam beberapa temu bual pada lewat malam Selasa dan Rabu, Trump mempertahankan perang itu tetapi mengaku ia turut menjadi faktor yang menyebabkan Demokrat berjaya merampas kawalan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Sementara itu, Iran mendakwa keputusan pilihan raya pertengahan itu  membuktikan rakyat AS menolak perang terhadap Republik Islam.

Ketua perunding Iran merangkap Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Qalibaf berkata, keputusan itu menunjukkan rakyat AS tidak mahu perang diteruskan.

“Rakyat Amerika berkata tidak kepada perang dan kami menyokong mesej itu,” katanya menerusi platform X pada Rabu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini