KUALA LUMPUR: Kes keganasan rumah tangga di negara ini merekodkan peningkatan sebanyak 3.9 peratus kepada 7,391 kes pada 2025 berbanding 7,116 kes pada tahun sebelumnya.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menunjukkan sebanyak 5,862 kes dilaporkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri berkata, walaupun jumlah kes bagi 2026 masih belum meliputi keseluruhan tahun angka tersebut menunjukkan isu keganasan rumah tangga terus menjadi kebimbangan yang memerlukan perhatian serius.
“Keganasan rumah tangga tidak terhad kepada kecederaan fizikal. Ia turut merangkumi penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, ugutan, perbuatan mengurung atau menyekat pergerakan, kerosakan harta benda, kawalan kewangan serta perbuatan mengaibkan dan mengawal mangsa.
“Keganasan rumah tangga tidak boleh dianggap sebagai urusan dalaman keluarga yang wajar didiamkan, sebaliknya perlu ditangani sebagai isu keselamatan dan pelanggaran hak asasi manusia yang menuntut perhatian serta tindakan daripada semua pelbagai pihak secara sistematik. Kita perlu melihat isu ini dari pelbagai lensa dan perspektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Simposium Pengukuhan Polisi Kepada Realiti Keganasan Rumah Tangga: Mendepani Cabaran Dan Pemerkasaan Institusi Kekeluargaan di sini, hari ini.
Simposium tersebut diadakan dalam dua siri iaitu bermula hari ini sehingga esokmanakala siri kedua pada pertengahan November di Kelantan.
Jelas Nancy, segala input yang diperoleh akan dianalisis dan dirumuskan ke arah menyediakan laporan hala tuju dan resolusi menangani isu keganasan rumah tangga.
Mengulas lanjut katanya, dalam era digital kini, ancaman juga boleh berlaku melalui pemantauan, gangguan dan ugutan menggunakan teknologi.
“Bentuk keganasan ini mungkin tidak meninggalkan kesan yang dapat dilihat, tetapi luka emosi dan psikologi yang ditanggung mangsa adalah berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy turut menjelaskan, trend peningkatan jumlah panggilan Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari membuktikan bahawa masyarakat kini lebih peka dan meletakkan kepercayaan kepada talian tersebut sebagai saluran aduan dan pertolongan awal.
“Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun diteruskan sebagai saluran untuk menerima sebarang pertanyaan, aduan dan permohonan bantuan berkaitan keganasan rumah tangga. Sebagai alternatif, aduan juga boleh dibuat dengan menghantar mesej ke aplikasi WhatsApp 01926-15999,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan namun beliau mengakui bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan.
“Oleh itu, simposium ini menjadi platform untuk mendapatkan input dan pandangan daripada pemegang kepentingan serta para pemandiri yang seterusnya membantu dalam mengenal pasti cabaran yang dihadapi, menilai keberkesanan pendekatan sedia ada dan merangka langkah penambahbaikan bagi memperkukuh mekanisme sokongan dan perlindungan kepada mangsa,” katanya. –UTUSAN











