Gaji minimum, bantuan bersasar sebahagian usaha tangani kos sara hidup

Gaji minimum, bantuan bersasar sebahagian usaha tangani kos sara hidup

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar gaji minimum Malaysia tidak boleh dilihat secara berasingan sebaliknya perlu dilihat sebagai pelengkap kepada bantuan bersasar, rasionalisasi subsidi dan langkah penjagaan kesihatan mampu milik.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, hal ini bagi memastikan peningkatan pendapatan pekerja turut meningkatkan kesejahteraan isi rumah.

Jelasnya, penambahbaikan gaji dirangka seiring dengan inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), rasionalisasi subsidi bahan api RON95 serta skim insurans dan takaful perubatan MediAsas yang akan diperkenalkan tidak lama lagi sekali gus menyediakan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani kos sara hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkongsi perkara itu menerusi akaun LinkedIn beliau susulan pandangan yang disuarakannya baru-baru ini dalam sebuah podcast kewangan.

Menerusi Belanjawan 2027, kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja manakala bantuan SARA diperluas kepada hampir 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.

Setakat 22 Oktober, sebanyak RM3.6 bilion telah disalurkan kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menerusi tiga fasa pembayaran. Secara keseluruhan, hampir RM12 bilion bantuan STR dan SARA telah disalurkan kepada penerima yang layak.

Peruntukan bagi STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027 dengan bantuan bulanan SARA dinaikkan kepada RM150 atau RM1,800 setahun.

Kerajaan juga telah menjadualkan pelancaran MediAsas iaitu pilihan insurans perubatan dan takaful mampu milik pada akhir Januari 2027 sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan akses kepada perlindungan penjagaan kesihatan.

Selain itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi memperkukuh program rawatan pesakit secara penyumberan luar bagi mengurangkan tempoh menunggu.

Amir Hamzah menambah, tiada satu pun daripada langkah ini harus dianggap sebagai pencapaian kendiri kerana setiap satunya berperanan mengimbangi pertimbangan ekonomi yang lain.

“Tiada satu pun daripada langkah ini merupakan kejayaan yang berdiri sendiri. Setiap satunya berperanan sebagai pengimbang kepada perkara lain,” katanya.

Amir Hamzah memberitahu, kerajaan pada dasarnya berusaha mencapai dua matlamat utama iaitu membina ekonomi yang mampan dan memelihara perpaduan sosial.

Mengenai kemampanan ekonomi, beliau menyatakan keputusan sukar melibatkan subsidi, disiplin fiskal dan kecukupan perolehan tidak boleh terus ditangguhkan kerana tindakan sedemikian akan memindahkan beban kepada generasi akan datang.

“Setiap kali kita mengelak daripada membuat keputusan sukar berkaitan subsidi, disiplin fiskal dan kecukupan perolehan, kita sebenarnya membebankan masa depan anak-anak kita. Saya tidak sanggup berbuat demikian,” katanya.

Mengenai perpaduan sosial, menurut Amir Hamzah, jurang ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar boleh berkembang menjadi masalah sosial yang lebih serius jika tidak ditangani.

“Jika jurang di antara golongan berpendapatan tertinggi dengan golongan berpendapatan terendah terus melebar, kita bukan sekadar berdepan masalah ekonomi, malah sedang mewujudkan masalah sosial,” jelasnya.

Beliau memberi amaran bahawa ketidaksamaan boleh membawa kesan yang lebih meluas dan lebih sukar ditangani berbanding menerusi pemberian bantuan kewangan secara langsung.

“Ketidaksamaan, jika tidak ditangani, akan menimbulkan kesan yang jauh lebih sukar ditangani berbanding sekadar pemberian bantuan tunai. Lihat sahaja kemusnahan yang telah dibawa oleh ketidaksamaan di banyak negara lain. Kita tidak boleh membiarkan Malaysia melalui jalan yang sama,” tambahnya.

Amir Hamzah berkata, pertimbangan yang lebih menyeluruh ini menjadi panduan kepada keputusan kerajaan berhubung pelaksanaan subsidi bersasar, peluasan asas cukai dan penambahbaikan kadar upah selain memastikan isi rumah terus dilindungi.

Beliau menegaskan langkah-langkah ini tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan impak individu secara serta-merta sebaliknya berdasarkan cara ia saling melengkapi dan mengimbangi antara satu sama lain.

“Tiada satu pun daripada langkah ini boleh dinilai secara adil berdasarkan kesan langsungnya semata-mata. Persoalan sebenar yang perlu sentiasa diteliti ialah: apakah yang diimbangi menerusi langkah tersebut? Apakah keseimbangan yang ingin dicapai?” katanya.

Mengibaratkan pengurusan ekonomi seperti memimpin sebuah orkestra, Amir Hamzah berkata, pengurusan ekonomi memerlukan pelbagai dasar dilaksanakan secara serentak dan pada masa yang bersesuaian.

“Mengekalkan kestabilan ekonomi bukanlah seperti menarik satu tuil sahaja. Sebaliknya, ia ibarat memimpin sebuah orkestra. Setiap komponen perlu bergerak seiring dan memainkan peranannya pada masa yang tepat untuk menghasilkan sebuah persembahan yang harmoni,” katanya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini