Niaga hadapan minyak sawit mentah susut bawah paras RM4,600 - Utusan Malaysia

Niaga hadapan minyak sawit mentah susut bawah paras RM4,600

HARGA minyak sawit mentah susut di bawah paras sokongan RM4,600 satu tan pada November - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan fasa penurunannya apabila merosot RM98 untuk ditutup pada paras RM4,551 satu tan berikutan tekanan jualan yang kukuh.

Penurunan itu menyaksikan harga komoditi berkenaan menembusi paras sokongan utama RM4,600 sekali gus menunjukkan pergerakan pasaran kini semakin dikuasai oleh penggiat yang menantikan penurunan harga.

Penganalisis RHB Investment Bank Berhad (RHB Research), Aiman Kamil Ahmad Shauqi berkata, FCPO memulakan sesi dagangan pada RM4,644 sebelum mencatat paras tertinggi tengah hari pada RM4,656.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walau bagaimanapun, tekanan jualan yang besar kemudian mengheret harga ke paras terendah sesi pada RM4,543 sebelum ditutup berhampiran paras terendah lingkungan tersebut.

“Penembusan bawah paras sokongan RM4,600 memberi isyarat bahawa momentum menurun semakin kukuh,” katanya dalam laporan penyelidikan. 

Mengulas lanjut, Aiman Kamil berkata, FCPO terus diniagakan di bawah garisan purata bergerak mudah (SMA) 50 hari manakala Indeks Kekuatan Relatif (RSI) berada di bawah paras 50 peratus.

“Perkembangan teknikal berkenaan berpotensi menguji paras sokongan seterusnya pada RM4,500 yang berada berhampiran garisan SMA 200 hari yang meningkat.

“Sekiranya harga menembusi bawah paras sokongan berkenaan, ia berisiko membuka ruang untuk penurunan berterusan ke paras sokongan berikutnya pada RM4,400,” katanya. 

Sementara itu, BIMB Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mencecah sehingga RM5,000 satu tan pada separuh pertama 2027, didorong peningkatan permintaan biodiesel global serta risiko gangguan bekalan akibat fenomena cuaca El Niño.

Firma penyelidikan itu berkata, prospek harga MSM kekal positif berikutan peningkatan penggunaan minyak sayuran dalam pengeluaran biodiesel, selain kemungkinan bekalan terjejas akibat keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, harga MSM meningkat 2.8% sepanjang Oktober 2026 daripada RM4,554 kepada RM4,681 satu tan, disokong permintaan eksport yang lebih kukuh serta peningkatan sentimen dalam pasaran minyak sayuran global.

“Harga komoditi itu turut mencapai paras tertinggi RM4,818 satu tan pada separuh kedua Oktober sebelum menyusut sedikit menjelang akhir bulan berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan pelabur.

“Bagi tempoh akan datang, kami menjangkakan harga MSM diniagakan antara RM4,300 hingga RM4,800 satu tan pada suku keempat 2026 dan RM4,500 hingga RM5,000 satu tan pada separuh pertama 2027,” menurut firma itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini